SEKALI pandang, kediaman yang satu ini tampak indah bagaikan sebuah resort percutian.
Efek nyaman dan tenang menyelimuti keseluruhan ruang yang diliputi rona gelap.
Lebih menarik, setiap sentuhan di setiap sudut ruangan rumah ini adalah hasil air tangan pemiliknya, Nor Hidayu Baharudin.
Hidayu,39, berkata konsep moden elegan itu adalah pilihan citarasanya bersama suami, Hafiz Aluwi,41, yang gemarkan rona gelap dan nyaman.
“Konsep dipilih ini melambangkan identiti tuan rumah bila mana kami banyak doit-yourself (diy) bahagian dinding di rumah ini.
“Kami diy shiplap, wainscoting, cermin bahagian ruang makan, seni dinding islamik di tangga dan cat efek simen di dinding tumpu.
“Pemasangan batu kastone juga kami diy sendiri termasuk pintu tersembunyi di bawah tangga,” katanya kepada Seri.

HIASAN UNIK
Selain pemilihan rona yang keras dan gelap, kelainan pada kediaman ini dapat dilihat pada dekorasi unik di beberapa bahagian terutamanya jam dinding dan lampu studio yang unik.
Padanan lampu dan hiasan itu menyatu dengan sempurna membangkitkan suasana elegan dan klasik yang tidak keterlaluan.
Keunikan juga dapat dilihat pada cermin yang ditempah khas diletakkan di bahagian ruang makan bagi memberikan ilusi lebih luas kepada kediaman berkeluasan 1,300 kaki persegi ini.
Penggunaan bidai sebagai pengganti langsir pada bahagian pintu utama juga merupakan sentuhan bijak dalam menampilkan kelainan pada ruang utama.
Begitu juga dengan pemilihan rekaan sofa rona hitam dan kayu membangkitkan lagi suasana seakan resort dan menyempurnakan dekorasi berasaskan rona gelap.

Selain itu, susun atur yang bijak menjadikan ruangan nampak selesa dan teratur walaupun diliputi rona asas yang gelap iaitu hitam dan coklat.
“Ramai yang tidak suka dekorasi warna gelap terutamanya hitam sebab nampak sempit dan suram.
“Tapi bagi kami, konsep yang dipilih bersesuaian dengan jiwa kami. Tidak terlalu lembut dan tidak juga terlalu menonjol.Nampak rumah lebih nyaman.
“Lagi pula, sentuhan sendiri akan lebih dihargai kerana setiap kali melihatnya, ada memori indah akan dikenang kami berdua,” katanya yang juga aktif berkongsi tips dekorasi di instagram ai.den. home.
Mengulas daripada segi penjagaan, ia memerlukan sedikit masa dan tenaga setiap minggu untuk lap habuk di perabot berwarna hitam.











