WASHINGTON: Perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza dikatakan mustahil berlaku sebelum Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden meninggalkan jawatan itu, pada Januari.
Senario itu dilaporkan oleh Wall Street Journal (WSJ) yang memetik sumber pegawai peringkat tertinggi di White House, Jabatan Negara AS dan Pentagon.
Dua minggu lalu, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata, sebanyak 90 peratus perjanjian gencatan senjata sudah dipersetujui.
AS dan pengantara Qatar serta Mesir berusaha mendapatkan gencatan senjata, namun, usaha itu gagal untuk membawa Israel dan Hamas ke meja rundingan.
Dua halangan terbesar adalah permintaan Israel untuk mengekalkan pasukan tenteranya di koridor Philadelphia antara Gaza dan Mesir, selain pertukaran tebusan Israel untuk tahanan Palestin yang dipenjarakan Israel.
Menurut AS, perjanjian gencatan senjata boleh mengurangkan ketegangan di seluruh Asia Barat.
Biden membentangkan cadangan gencatan senjata sebanyak tiga fasa sejak 31 Mei lalu, yang dipersetujui Israel pada masa itu.
Serangan Israel sejak 7 Oktober, tahun lalu, mengorbankan lebih 41,272 rakyat Palestin dan 95,551 mengalami kecederaan.











