TELUK INTAN: Mungkin tidak ramai yang mengetahui sebuah rumah papan berwarna kuning dengan seni bina Melayu di Jalan Syed Abu Bakar di sini merupakan rumah yang pernah menjadi kediaman seniwati tersohor negara, Allahyarham Norizan.
Rumah itu dikatakan dibina pada tahun 1940-an, merupakan hadiah kepada Norizan atau nama sebenarnya Noorizan Mohd. Noor selepas berkahwin dengan Sultan Perak ke-32, Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah.
Namun, Norizan meninggalkan rumah tersebut selepas berpisah dengan Sultan Yussuf.
Norizan kemudiannya berkahwin dengan P. Ramlee dan sejak itu Norizan tidak pernah datang ke rumah tersebut.
Waris kepada rumah itu, Najlil Hayati Abdullah, 60, berkata, rumah itu menjadi perhatian sesiapa yang melalui kawasan tersebut walaupun mereka tidak mengetahui siapa pemilik dan sejarah rumah tersebut.
“Walaupun kini kosong, rumah ini masih cantik, indah dengan landskap yang menarik kerana ditanam pokok bunga di sekelilingnya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Sementara itu, tukang kebun yang menjaga rumah tersebut, Abdul Wahab Hashim, 71, berkata, rumah itu antara tarikan pelancong ke bandar Teluk Intan.
Katanya, pelancong sering singgah di rumah itu untuk bergambar. – UTUSAN











