PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) hanya menerima Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan ahli Parlimen pembangkang sekiranya meletakkan syarat yang selaras dan menepati kehendak Perlembagaan Persekutuan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, segala syarat ditetapkan adalah perlu menepati undang-undang negara khususnya dalam memperkukuh sistem demokrasi dan semak serta seimbang dalam Dewan Rakyat.
“Kami lihat peruntukan yang terkandung dalam MoU kerajaan adalah syarat untuk tidak memberi peruntukan.
“Sedangkan sepatutnya ia dipermudah sebagaimana Selangor, Perak, Kelantan dan Kedah yang menyalurkannya tanpa sebarang syarat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mendedahkan enam kandungan MoU tersebut antaranya mengenai peranan dan fungsi ahli Parlimen Pembangkang sebagai komponen penting dan akujanji sebagai wakil rakyat berwibawa, perlu bertindak sebagai komponen semak dan imbang yang bertanggungjawab dan membina.
Selain itu, MoU juga menyentuh pematuhan kepada Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.
Ia susulan semua ahli Parlimen PN yang sebelum ini sebulat suara menolak Memorandum Persefahaman kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang di atas empat faktor antaranya dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, nilai budaya, moral dan agama.
Ditanya sama ada PN akan mengadakan perbincangan semula dengan kerajaan, Tuan Ibrahim berkata, ia bergantung kepada MoU memandangkan pihaknya hanya menerima syarat selaras dan kehendak undang-undang dalam memperkukuh sistem demokrasi dan semak dan imbang.
Katanya, meskipun kerajaan mempunyai kekuatan dua pertiga majoriti, namun jika dilihat kepada syarat MoU seolah-olah menunjukkan kerajaan sangat takut kepada pembangkang.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, MoU itu dilihat menokok tambah peraturan yang bukan-bukan tentang perlakuan ahli Parlimen, sedangkan undang-undang berkaitannya telah sedia ada.
Katanya, ia sekali gus akan mengurangkan kebebasan bersuara yang telah sedia ada.
“Justeru, menerima MoU ini adalah langkah yang berbahaya. Bukan sahaja merosakkan identiti nasional, tetapi juga mengancam asas dan semangat demokrasi berparlimen dalam negara kita,” katanya.
Katanya, penolakan MoU adalah amat penting demi memastikan kelangsungan identiti nasional bagi memastikan Malaysia maju mengikut acuan dan nilai kita sendiri berasaskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN










