ISTANBUL: Kumpulan pejuang Hamas menegaskan pergerakannya mempunyai sumber mencukupi untuk meneruskan perjuangan memerangi Israel, walaupun mengalami kerugian selama lebih 11 bulan perang di Gaza.
Pegawai kanan Hamas, Osama Hamdan berkata, walaupun terdapat kehilangan nyawa akibat peperangan, Hamas berhasil mengumpul pengalaman dan merekrut generasi baharu untuk meneruskan perjuangan mereka.
“Jumlah korban (anggota Hamas) adalah jauh lebih rendah daripada yang dijangkakan dalam pertarungan sebesar ini,” kata Hamdan dalam wawancara bersama AFP di Istanbul, kelmarin.
Kenyataan Osama sebagai menepis dakwaan Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant yang menganggap Hamas tidak lagi wujud sebagai pergerakan tentera di Gaza selepas serangannya pada 7 Oktober tahun lalu mencetuskan perang.
Beliau menegaskan, mustahil untuk Hamas dihapuskan dari Gaza meskipun itu adalah matlamat perang Israel dan menawan wilayah tersebut.
“Ketua Hamas, Yahya Sinwar dan pemimpin lain tidak akan meninggalkan Gaza, bahkan mereka bersedia untuk syahid ribuan kali di Palestin daripada meninggalkan tanah air, kerana segala usaha dilakukan hanya untuk pembebasan Palestin,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan Hamas pasca perang, Osama berkata, kumpulan itu menginginkan pemerintahan bersama Palestin di Gaza.
Menurutnya, pegawai Hamas dan wakil kumpulan Palestin lain akan bertemu tidak lama lagi di Kaherah untuk membincangkan visi pasca perang mereka.
Sehingga kini, perang Israel di Gaza yang hampir setahun belum menemukan titik noktah apabila Tel Aviv berdegil untuk melanjutkan serangan, meskipun menerima tekanan antarabangsa untuk bersetuju gencatan senjata.
Rundingan perjanjian selama berbulan-bulan yang bertujuan mencapai gencatan senjata dan pembebasan tebusan, dipimpin Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar, juga dilihat terhenti di tengah jalan.










