PETALING JAYA: Sektor pelancongan, sekuriti makanan dan kenderaan elektrik (EV) perlu diberi tumpuan dalam Belanjawan 2025 bagi merancakkan ekonomi negara, kata penganalisis.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, sektor pelancongan amat penting dan perlu diberikan insentif lebih besar supaya ia dapat memberi sumbangan yang lebih besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Ujarnya, sektor tersebut kini menyumbang kurang dari 10 peratus kepada KDNK dan sepatutnya disasarkan dua kali ganda kepada 20 peratus.
“Sektor ini mengukuhkan nilai ringgit apabila ramai pelancong luar datang ke Malaysia. Selain itu, rakyat daripada pelbagai lapisan termasuk B40 dan M40 di luar dan dalam bandar akan menikmati faedah.
“Ini kerana, industri pelancongan mempunyai nilai gandaan ekonomi yang tinggi kepada sektor-sektor lain seperti makanan, pengangkutan, runcit, perhotelan dan pelbagai lagi.
“Apa lagi tahun 2025 adalah tahun melawat Malaysia, momentum jumlah pelancong yang meningkat pada 2024 ketika ini perlu digandakan lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, infrastruktur sama ada di pintu masuk negara, lapangan terbang dan pelabuhan mestilah ditingkatkan serta anggota agensi kerajaan boleh ditambah supaya lebih efisien dan mesra untuk memberikan imej yang baik kepada negara di mata dunia.
Selain itu, beliau juga meminta kerajaan memberi tumpuan kepada sektor sekuriti makanan dengan melantik banyak pihak untuk memperbaiki industri ini, terutamanya melibatkan perusahan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) negara yang banyak terlibat dalam industri makanan.
Dalam pada itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, sektor EV dijangka akan menjadi antara fokus utama dalam Belanjawan 2025, berikutan tahap penerimaan EV semakin meningkat.
Beliau berkata, berdasarkan data daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jualan kenderaan EV telah pun mencecah 6,617 unit pada separuh tahun pertama 2024, berbanding 10,159 unit pada 2023.
“Justeru, insentif cukai perlu diberikan bagi menggalakkan penggunaan EV dalam kalangan rakyat Malaysia. Infrastruktur bagi mengecas kenderaan EV perlu disegerakan agar memudahkan urusan para pengguna EV bagi tujuan melancarkan perjalanan mereka.
“Selain itu, membentuk suatu ekosistem yang saling berhubung kait juga penting terutama dalam penerokaan Unsur Nadir Bumi (REE) bagi melengkapi ekosistem EV dan menjadikan ekonomi negara lebih kompleks,” ujarnya.
Tambah beliau, belanjawan kali ini juga dijangka memastikan defisit fiskal akan terus menguncup.
“Jika tahun ini jangkaan adalah 4.3 peratus daripada KDNK, maka tahun depan, nisbah ini dijangka mengecil di bawah paras 4.0 peratus. Ini bermakna, perlu ada langkah pengoptimuman perbelanjaan terutamanya subsidi dan juga langkah untuk meningkatkan hasil.
“Justeru, langkah konsolidasi fiskal ini sudah pasti akan mewujudkan lebihan dana yang akan digunakan semula untuk menjana pertumbuhan ekonomi.
“Kita seharusnya boleh menjangkakan peruntukan yang berterusan bagi program bayaran pindahan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan bantuan awal persekolahan,” ujarnya.
Beliau berkata, langkah ini penting kerana ia merupakan langkah mitigasi kepada pelaksanaan rasionalisasi subsidi dan langkah meningkatkan hasil yang boleh menyebabkan kesan kepada kenaikan kos sara hidup. – UTUSAN











