Pulau Pinang teruskan promosi tarik pelabur di BKIP 3, BCTP

Pulau Pinang teruskan promosi tarik pelabur di BKIP 3, BCTP

CHOW Kon Yeow (tengah) ketika berucap pada majlis sambutan Maulidur Rasul dan agihan makanan anjuran Persatuan Peniaga-Peniaga Kompleks Padang Brown, di George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan negeri akan meneruskan promosi bagi menarik pelaburan baharu ke Taman Perindustrian Batu Kawan 3 (BKIP 3) dan Taman Teknologi Bandar Casia (BCTP), di Batu Kawan, dekat sini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, mengikut perancangan, BCTP dijangka siap sepenuhnya menjelang 2026 manakala Fasa 1 dan Fasa 2 bagi projek BKIP 3 pula juga dijangka siap pada tahun yang sama.

“Baru-baru ini saya telah ambil kesempatan untuk mengadakan jelajah ke beberapa projek yang dilaksanakan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di Batu Kawan termasuk dua tapak industri ini iaitu BCTP dan BKIP 3.

“Boleh dikatakan kerja-kerja tanah dan kerja-kerja penyediaan infrastruktur berjalan dengan lancar di kedua-dua tapak ini. Jadi, kita akan jalankan promosi berterusan untuk menarik pelabur ke tanah-tanah di kawasan baru (BCTP dan BKIP 3) sehingga semua tanah di situ dapat dijual untuk kegunaan industri,” katanya.

Terdahulu, Kon Yeow menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul dan agihan makanan anjuran Persatuan Peniaga-Peniaga Kompleks Padang Brown di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa PDC sedang membangunkan tiga taman perindustrian baharu di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang melibatkan jumlah pelaburan mencecah RM3.2 bilion.

Tiga taman perindustrian itu ialah BCTP, BKIP 3 dan South Penang Science Park (SPSP) yang melibatkan kawasan seluas 70.4 hektar. Ketiga-tiganya mula dibangunkan sejak 2022 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2031 nanti.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow berkata, bagi BCTP, terdapat pemilik industri yang telah masuk melabur dengan memulakan pembinaan kilang di kawasan berkenaan.

“Sehingga kini, empat pelabur sudah memulakan pelaburan mereka di BCTP dan dua daripadanya juga sudah memulakan kerja di kawasan tapak.

“Bagi BKIP 3 pula, tanah di sini sedang dalam peringkat kerja tanah dan sedang dalam proses tebus guna tanah untuk melaksanakan kerja-kerja infrastruktur,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kemajuan di tapak BCTP dan BKIP 3 menunjukkan kesediaan kerajaan negeri untuk menawarkan peluang pelaburan serta kawasan yang selesa kepada pelabur untuk melabur di negeri ini.

“Kita ada beberapa ratus hektar tanah industri yang telah siap untuk ditawarkan kepada pelabur berbanding dahulu. Ini menunjukkan kesiapsiagaan kita dalam memberikan keselesaan kepada pelabur untuk melabur di negeri ini,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×