Berkempen ‘Cara Johor’, elak hancurkan keharmonian, perpaduan

Berkempen ‘Cara Johor’, elak hancurkan keharmonian, perpaduan

Calon BN Syed Hussien Syed Abdullah (kiri) bersama calon PN Mohamad Haizan Jaafar di pusat penamaan calon di Dewan Tunku Ibrahim Ismail baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENDANG Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sudah dipalu.
Sebaik sahaja nama calon yang layak bertanding diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Azurawati Wahid pada pukul 10.15 pagi kelmarin, pemimpin, calon dan parti yang terlibat dalam PRK berkenaan sudah membuka gelanggang kempen masing-masing.

Walaupun pertandingan hanya menyaksikan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah yang mewakili Kerajaan Perpaduan menentang calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, ramai pemimpin serta parti politik mula ‘berkampung’ di Kluang bagi membantu calon masing-masing meraih sokongan pengundi.

Gelanggang kempen baru bermula, suhunya juga masih ‘sejuk’.
Namun, situasi itu dijangka semakin ‘panas’ apabila memasuki pusingan akhir minggu depan, sebelum hari pengundian pada 28 September ini.

Seperti biasa, semasa berkempen sama ada dalam PRK mahupun pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya negeri (PRN), pelbagai isu dibangkitkan oleh pemimpin dan parti yang bertanding.

Malah, setiap kempen sering ‘panas’ dan tidak ‘sunyi’ daripada isu-isu yang dibangkitkan bagi meraih sokongan dan undi.

Walaupun belum ‘muncul’ isu-isu sensitif yang dibangkit dalam PRK DUN Mahkota setakat ini, suasana dijangka berubah dalam masa terdekat apabila lebih ramai pemimpin berkempen membantu calon masing-masing.

Namun, Johor yang terkenal dengan slogan ‘Bangsa Johor’ yang sentiasa mementingkan keharmonian dan perpaduan antara kaum serta amat berharap kempen PRK DUN Mahkota tidak menggugat semangat tersebut.

Malah, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut mengingatkan semua pihak supaya berkempen dengan berhemah, termasuk tidak menyentuh isu-isu sensitif seperti 3R (agama, kaum, raja).

Memang benar, perkara itu amat penting dihindari supaya tidak menimbulkan rasa kurang senang, menyinggung perasaan serta merosakkan keharmonian serta perpaduan rakyat berbilang kaum, khususnya di Johor.

“Untuk menyemai dan mengukuhkan keharmonian dan semangat perpaduan ini mengambil masa yang lama, bertahun-tahun, malah berdekad.

“Jangan rosakkan dan runtuhkan keharmonian dan semangat perpaduan dalam sekelip mata kerana untuk membinanya bukan mudah, ambil masa yang lama, bukan sekelip mata,” tegasnya.

Malah, Pengerusi Badan Perhuhungan UMNO Johor itu memberi jaminan bahawa BN akan berkempen secara berhemah, iaitu menjunjungi ‘Cara Johor’.

Cara Johor mempunyai keunikan tersendiri, seperti nukilan Sasterawan Negara yang merupakan anak Johor, Usman Awang dalam puisinya bertajuk ‘Melayu Johor’:
“Berkelahilah cara Melayu,
Menikam dengan pantun,
Menyanggah dalam senyum,
Marahnya dalam tertawa,
Merendah bukan menyembah,
Meninggi bukan melonjak”

Justeru, semua pemimpin dan parti politik yang terlibat harus berjiwa besar, utamakan keharmonian dan perpaduan rakyat walaupun mempunyai ideologi dan arah tuju politik yang berbeza dalam meraih sokongan dan undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×