LONDON: Perdana Menteri Britain, Keir Starmer berdepan desakan untuk membenarkan Ukraine menggunakan peluru berpandu jarak jauh ke wilayah Russia, walaupun tanpa sokongan Amerika Syarikat (AS), lapor Sunday Times semalam.
Menurut akhbar tersebut, desakan itu dibuat oleh lima bekas Setiausaha Pertahanan Konservatif iaitu Grant Shapps, Ben Wallace, Gavin Williamson, Penny Mordaunt dan Liam Fox serta bekas Perdana Menteri, Boris Johnson.
“Mereka memberi amaran kepada Starmer bahawa sebarang kelewatan boleh menyebabkan Presiden Russia, Vladimir Putin mengambil tindakan berani,” kata Sunday Times.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, sebelum ini merayu kepada sekutu-sekutunya selama beberapa bulan agar membenarkan Kyiv menggunakan peluru berpandu milik Barat untuk menyerang Russia.
Ia termasuk ATACMS AS dan Storm Shadows milik Britain bagi mengehadkan keupayaan Moscow melancarkan serangan.
Starmer dan Presiden AS, Joe Biden, mengadakan rundingan di Washington kelmarin sama ada untuk membenarkan Kyiv menggunakan peluru berpandu jarak jauh terhadap sasaran di Russia, namun keputusan tidak diumumkan.
Beberapa pegawai AS skeptikal bahawa membenarkan penggunaan peluru berpandu tersebut akan memberikan perbezaan yang ketara dalam perjuangan Kyiv menentang penceroboh Russia.
Putin berkata, Barat akan bertempur secara langsung dengan Russia jika membenarkan Ukraine melancarkan serangan menggunakan peluru berpandu jarak jauh milik Barat.- AGENSI











