JUBA: Sudan Selatan sekali lagi mengumumkan penangguhan pilihan raya umum yang sekian lama tertunda sehingga Disember 2026, dengan alasan kurang persediaan.
Ini merupakan kali kedua negara yang memperoleh kemerdekaan pada tahun 2011 tersebut menangguhkan proses pilihan raya, sekali gus melanjutkan tempoh peralihan yang bermula sejak Februari 2020.
Presiden Salva Kiir dan bekas pesaing yang kini menjadi timbalannya, Riek Machar menandatangani perjanjian damai pada 2018, menamatkan perang saudara lima tahun yang membunuh kira-kira 400,000 orang, mencetuskan krisis kebuluran dan pelarian.
“Presiden, di bawah pimpinan Presiden Salva Kiir Mayardit, mengumumkan lanjutan tempoh peralihan negara selama dua tahun serta penangguhan pilihan raya, yang asalnya dijadualkan pada Disember 2024 kepada 22 Disember 2026,” kata pejabat Kiir pada Jumaat.
Penasihat Presiden mengenai keselamatan negara, Tut Gatluak berkata, kerajaan memerlukan lebih banyak masa untuk menyelesaikan proses seperti bancian, penggubalan perlembagaan tetap dan pendaftaran parti politik sebelum pilihan raya boleh diadakan.
Menteri Hal Ehwal Kabinet, Martin Elia Lomuro berkata, lanjutan tempoh peralihan itu dibuat berdasarkan cadangan daripada kedua-dua institusi pilihan raya dan sektor keselamatan.
Negara itu sedang menghadapi krisis ekonomi yang menyebabkan penjawat awam tidak dibayar gaji selama hampir setahun, selepas eksport minyak terjejas akibat saluran paip rosak di tengah perang saudara di Sudan, negara jiran yang menjadi laluan eksport minyaknya.- AL JAZEERA











