KANGAR: Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya sama sekali tidak bersetuju dengan kewujudan ejen yang mengenakan caj sehingga RM13,000 bagi penyediaan kertas kerja untuk permohonan peruntukan di bawah Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani).
Malah, katanya, beliau difahamkan, ejen terbabit mengenakan caj 13 peratus untuk menyediakan kertas kerja berkenaan dengan mereka mengambil 10 peratus dan tiga peratus lagi sebagai komisen kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).
Katanya, ada pihak marah apabila beliau membangkitkan perkara itu.
“Kemudian saya difahamkan bukan caj RM13,000 tetapi 13 peratus, namun kalau permohonan tersebut melibatkan RM100,000, jadi RM13,000 jugalah. Pada saya. caj tersebut adalah terlalu tinggi.
“Saya dapat juga maklumat dikatakan 10 peratus untuk ejen terbabit manakala tiga peratus kepada Pengerusi JPKKP, ini lagi saya tidak setuju. Kepada sesiapa Pengerusi JPKKP, duit RM100,000 ini adalah betul-betul amanah yang kerajaan berikan untuk pembangunan ekonomi setempat.
“Yang mana hasil untuk manfaat penduduk setempat, kalau pengerusi atau jawatankuasa JPKKP nak ambil sedikit untuk kos pengurusan, mungkin tidak jadi masalah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan mengenai caj sehingga RM13,000 bagi penyediaan kertas kerja untuk permohonan peruntukan SejaTi Madani.
Perkara tersebut didedahkan Fathul Bari yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang difahamkan mengenai kewujudan ejen-ejen tidak bertanggungjawab mengenakan caj tidak munasabah tersebut kepada JPKKP atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi penyediaan kertas kerja permohonan peruntukan berkenaan.
Katanya, selain penyediaan kertas kerja, bayaran caj itu juga didakwa bertujuan memastikan peruntukan dapat diluluskan dan disalurkan dengan cepat kepada pemohon. – UTUSAN











