ARAU: Suasana malam di jalan besar berhadapan Sekolah Tengku Budriah (STB) meriah dengan orang ramai memenuhi bahu jalan menyaksikan lebih 1,000 murid bersama ibu bapa dan guru berarak sempena penutup Bulan Kebangsaan peringkat sekolah, semalam.
Suasana seperti di Dataran Putrajaya membabitkan 30 kontinjen murid prasekolah sehingga tahun enam termasuk kanak-kanak Program Pendidikan Khas Integrasi (PKKI) begitu segak berpakaian bertemakan kesultanan Melayu, adiwira, kerjaya dan warna Jalur Gemilang.
Mereka berjalan sehingga satu kilometer dengan menggayakan pakaian penuh kreativiti selain ada yang memperagakan pakaian pasukan keselamatan seperti anggota tentera.
Program bermula pukul 8.30 sehingga 11.30 malam turut diserikan dengan perarakan basikal berhias, persembahan murid-murid sebelum diakhiri pertunjukan bunga api yang menggamatkan suasana malam di sekolah berusia 130 tahun itu.
Majlis penutup disempurnakan Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Mazli Hamdan bersama Guru Besar STB, Nor Zaitun Ibrahim dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Saifol Zairy Abd Rahim.
Perarakan yang diadakan pada waktu malam itu juga disifatkan penuh ikonik. – UTUSAN











