PARIT BUNTAR: Tragedi feri karam di Sungai Kerian yang mengorbankan 27 orang 52 tahun lalu wajar dijadikan teladan bagi membentuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.
Ini kerana dalam tragedi itu, masyarakat berbilang kaum yang berada di lokasi kejadian saling bantu membantu untuk menyelamatkan mangsa yang terjatuh ke dalam sungai.
Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman berkata, malah dalam tragedi itu, jurumudi feri, S. Annamalai terkorban kerana mahu menyelamatkan penumpang.
Katanya, selain Annamalai, beberapa lagi individu tanpa mengira bangsa berusaha menyelamatkan mangsa dengan terjun ke dalam sungai untuk mencari mangsa yang lemas.
“Tragedi itu amat memilukan terutama kepada waris yang terlibat namun dari satu sudut bagaimana masyarakat berbilang kaum yang ada di lokasi kejadian saling bantu membantu cuba untuk menyelamatkan mangsa yang terjatuh ke dalam sungai dalam kejadian yang berlaku pada pagi.
“Semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat yang berusaha menyelamatkan mangsa pada hari kejadian wajar menjadi pedoman generasi hari ini untuk membina kembali semangat kesepaduan yang lebih erat lagi,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada Pengkisahan Sejarah Feri Karam di Sungai Kerian di Dewan Merdeka Parit Buntar, di sini semalam.
Jaafar Sidek berkata, majlis pengkisahan itu dapat menyampaikan mesej kepada generasi muda supaya hidup dalam keadaan harmoni dan tidak mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat majmuk.
Menurutnya, Arkib Negara sentiasa mempromosikan semangat perpaduan berdasarkan sumbangan kisah bakti tokoh-tokoh yang terdahulu dalam menjaga perpaduan dan hidup dalam keadaan harmoni.
“Kita mahu semua peringkat lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum dan fahaman agama untuk sama-sama mengekalkan keharmonian dan perpaduan.
“Sebagaimana kita lihat pada hari ini, ramai pengguna media sosial menjadikan platform itu saling mengecam dan menghina antara satu sama lain. Perkara seperti ini perlu dicegah dan dielakkan bagi menjaga kestabilan keharmonian sesama kita,” katanya.
Sementara itu, Jaafar Sidek berkata, majlis pengkisahan itu tidak hanya menampilkan individu iaitu saksi pada hari kejadian tetapi juga untuk mengumpulkan bahan-bahan berkaitan untuk diarkibkan sebagai rujukan untuk penyelidik dan pengkaji sejarah.
Tragedi feri karam di Sungai Kerian berlaku pada 13 September 1972 menyebabkan 27 pelajar sekolah dan dua orang awam terkorban.
Daripada jumlah itu, 17 yang maut ialah pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Kerian dan lapan murid dan pelajar Sekolah Rendah dan Menengah Methodist Parit Buntar serta dua orang awam, yang mana salah seorang adalah jurumudi feri yang karam.
Katanya, pihaknya mengalu-alukan sesiapa yang mempunyai bahan-bahan tragedi itu untuk menyumbang kepada Arkib Negara.
“Bagi yang mungkin mahu menjadikan kisah ini dalam bentuk filem, Arkib Negara amat mengalu-alukannya dan berharap filem yang digarap hendaklah berdasarkan data dan fakta yang tepat,” katanya.
Tragedi feri karam di Sungai Kerian berlaku pada 13 September 1972 menyebabkan 27 pelajar sekolah dan dua orang awam terkorban.
Daripada jumlah itu, 17 yang maut ialah pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Kerian dan lapan murid dan pelajar Sekolah Rendah dan Menengah Methodist Parit Buntar serta dua orang awam, yang mana salah seorang adalah jurumudi feri yang karam. – UTUSAN











