RETORIK semangat perpaduan di bulan kemerdekaan. Begitulah apa yang berlaku setelah 67 tahun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Begitu juga di Sabah dan Sarawak yang meraikan tahun ke-61 penubuhan persekutuan Malaysia.
Perpaduan merujuk kepada keadaan apabila individu atau kelompok masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, kaum, agama dan budaya bersatu padu dalam semangat kerjasama, saling menghormati serta toleransi. Perpaduan juga membawa maksud keharmonian dan kesepakatan dalam mengejar matlamat bersama, tanpa mengira perbezaan yang wujud. Ini adalah asas penting dalam membina sebuah masyarakat yang stabil, aman, dan makmur.
Isu perpaduan di Malaysia merupakan topik yang sering dibincangkan kerana negara ini. Perbezaan kaum dan agama kadang-kadang dieksploitasi oleh pihak tertentu untuk kepentingan politik. Ini menyebabkan kegusaran antara kaum dan menghalang usaha untuk memperkukuh perpaduan nasional.
Penyebaran berita palsu dan maklumat yang menghasut di media sosial juga menjadi ancaman besar kepada perpaduan. Ini kerana maklumat yang tidak tepat atau sengaja diputarbelitkan boleh menimbulkan ketegangan antara kaum. Penguatkuasaan undang- undang terhadap penyebaran berita palsu dan hasutan yang boleh mengganggu perpaduan perlu diperkukuh. Masyarakat perlu dididik tentang kepentingan menapis dan mengesahkan maklumat sebelum mempercayainya atau menyebarkannya.
Untuk mencapai perpaduan yang lebih kukuh, penting bagi semua pihak untuk memahami kepentingan toleransi, dialog antara kaum dan keadilan sosial. Kerajaan, pemimpin masyarakat mahupun rakyat perlu bekerjasama untuk menangani isu-isu ini dengan bijak dan berhemah.
Mengatasi isu perpaduan di Malaysia memerlukan usaha yang bersepadu dan berterusan dari semua pihak. Pendidikan sivik harus diperkukuh dalam kurikulum sekolah untuk menanam nilai-nilai perpaduan, toleransi, dan saling menghormati sejak kecil. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Nilai-nilai budi perlu dipupuk dari hari pertama di sekolah. Ibu-bapa pula mempunyai berperanan lebih besar dalam kesinambungan amalan tersebut di luar sekolah.
Program pendidikan yang menggalakkan pemahaman tentang budaya dan agama yang berbeza perlu dijalankan. Pihak kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi lain boleh menganjurkan forum, seminar ataupun perbincangan yang melibatkan semua kaum untuk meningkatkan kefahaman sekali gus mengurangkan prasangka.
Program interaksi sosial seperti sukan, kebudayaan dan aktiviti komuniti yang melibatkan pelbagai kaum perlu diperbanyakkan serta diberi nafas baharu.
Sekolah-sekolah kebangsaan perlu menjadi pilihan utama untuk semua kaum bagi memastikan generasi muda dapat berinteraksi dan memahami antara satu sama lain.
Kurikulum sekolah perlu merangkumi elemen-elemen perpaduan yang dapat membina jati diri kebangsaan.
Hasil pemerhatian saya, integrasi dilihat lebih baik apabila semua kaum dapat duduk bersama bermula di bangku sekolah.
Bagi menangani ketidakseimbangan ekonomi, usaha perlu dilakukan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan seimbang, dengan semua kaum mendapat peluang yang adil. Program-program ekonomi yang menyasarkan kepada peningkatan kemahiran dan keusahawanan tanpa mengira kaum perlu diberi galakkan.
Media massa perlu memainkan peranan penting dalam mempromosikan nilai-nilai perpaduan melalui program-program yang menonjolkan kepelbagaian budaya dan kejayaan bersama rakyat Malaysia. Nilai-nilai perpaduan perlu lebih dipromosikan melalui media dengan penghasilan kandungan yang menginspirasikan perpaduan dan keharmonian antara kaum.
PERANAN INDUSTRI
Industri boleh memainkan peranan penting dalam mengatasi isu perpaduan di Malaysia dengan beberapa cara yang strategik. Syarikat boleh membina budaya kerja yang inklusif, dengan pekerja daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama merasa dihargai dan dihormati. Syarikat juga boleh menyediakan latihan kepelbagaian dan kesedaran budaya kepada pekerja untuk meningkatkan pemahaman dan toleransi antara satu sama lain.
Pembentukan pasukan kerja yang terdiri daripada pekerja pelbagai kaum untuk menggalakkan interaksi, kerjasama dan persefahaman antara kaum boleh diwujudkan.
Projek-projek khas boleh direka untuk memastikan pekerja dari latar belakang yang berbeza dapat bekerja bersama dan belajar antara satu sama lain.
Syarikat perlu mengamalkan dasar pengambilan pekerja yang adil dan telus tanpa mengira kaum atau agama, berdasarkan merit dan kelayakan. Menggalakkan kepelbagaian dalam tenaga kerja mencerminkan komposisi masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Semua pekerja, tanpa mengira kaum, perlu mempunyai akses yang sama kepada peluang latihan, kenaikan pangkat dan pembangunan kerjaya. Ini akan mengurangkan perasaan tidak puas hati dan ketidakadilan dalam kalangan pekerja.
Industri boleh menyokong program-program masyarakat yang bertujuan mempromosikan perpaduan, seperti program pendidikan, kebudayaan dan sukan yang melibatkan pelbagai kaum. Menyumbang kepada projek-projek komuniti yang memfokuskan kepada keharmonian antara kaum seperti pembinaan kemudahan awam yang boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat.
Kerjasama industri-akademia seperti program pemindahan ilmu boleh dikembangkan bagi manfaat semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) misalnya, sering berganding bahu dengan industri bagi tujuan ini untuk menjayakan lebih 50 projek pemindahan ilmu sejak lima tahun kebelakangan ini.
Program tanggungjawab sosial (CSR) boleh dirancang untuk menyokong inisiatif perpaduan, seperti menyediakan bantuan kepada komuniti yang memerlukan. Mengadakan aktiviti sukarela dalam kalangan pekerja dengan melibatkan kerjasama komuniti pelbagai kaum, seperti gotong-royong atau kempen kesedaran perpaduan perlu menjadi agenda tetap industri bagi menjustifikasikan kewujudan syarikat, agar tidak dilihat sebagai institusi yang berpaksikan keuntungan semata-mata.
Syarikat boleh menjadi contoh kepada masyarakat dengan mempamerkan perpaduan dan keharmonian dalam amalan perniagaan. Pengurusan dan kepimpinan syarikat perlu menunjukkan komitmen terhadap perpaduan melalui dasar-dasar dan tindakan yang nyata.
Dengan mengambil langkah-langkah ini, industri di Malaysia dapat membantu memperkukuhkan perpaduan nasional, mewujudkan suasana yang lebih harmoni dalam masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan negara yang lebih inklusif dan makmur.
Gemblengan usaha kerajaan dan swasta, Malaysia akan dapat membina masyarakat yang lebih bersatu, harmoni, serta sejahtera dengan kepelbagaian budaya dan agama diraikan sebagai kekuatan, bukan penghalang. – UTUSAN
PENULIS ialah Ahli Panel Yayasan Budi dan Pengarah, Pejabat Jaringan Industri, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










