Pencemaran bau: Seorang murid dimasukkan ke hospital

Pencemaran bau: Seorang murid dimasukkan ke hospital

KAKITANGAN Unit Alam sekitar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri mengambil sampel air Sungai Tebrau untuk pemeriksaan lanjut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang murid perempuan tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Maju Jaya di sini, dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dipercayai terhidu bahan kimia.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Zaini Kasirin berkata, murid tersebut dihantar ke HSA kerana semput akibat dipercayai terhidu bahan kimia dari Sungai Tebrau bersebelahan sekolah berkenaan, kira-kira pukul 10 pagi semalam.

“Pada pukul 12 tengah malam semalam, bau kuat dari Sungai Tebrau di sekitar Kampung Maju Jaya. Apabila saya hantar anak ke sekolah, bau semakin kuat menyebabkan semua murid dan guru tidak selesa untuk belajar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Berikutan bau yang semakin kuat, seramai 24 murid dan tujuh guru telah diberikan rawatan di sekolah oleh pihak Kementerian Kesihatan yang datang kira-kira pukul 10 pagi.

Seorang peniaga, Norlela Chokaran mengakui terhidu bau ketika tiba di gerai untuk memasak pukul 3 pagi.

“Saya ingatkan bau gas, saya beritahu suami ada bau macam gas tapi selepas diperiksa tidak ada kebocoran pada tabung gas di dapur. Saya mula rasa pening, loya dan hendak muntah, tekak pun rasa perit tapi terpaksa juga memasak.

“Sehingga pada pukul 7 pagi, pelanggan datang ke gerai untuk membeli makanan memberitahu ada bau macam bahan kimia,” katanya memberitahu ramai pelanggan yang datang hanya membeli makanan bungkus.

Seorang lagi penduduk, Muhd. Nizan Samudin berkata, pukul 1 pagi bau mula kuat dan membuatkannya tidak boleh tidur.

“Ini kali kedua berlaku dan paling teruk berbanding yang berlaku di Kampung Sri Aman Seelong pada 2022,” katanya.

Sementara itu, sebuah pasukan dari Unit Alam Sekitar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) telah mengambil sampel air Sungai Tebrau untuk membuat peperiksaan lanjut.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kedudukan sekolah rendah, sekolah agama dan tadika terletak bersebelahan dengan Sungai Tebrau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×