SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) membuat pemantauan terhadap pergerakan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) susulan wujud isu ajaran sesat dikaitkan dengan syarikat itu.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, pemantauan dilakukan selepas individu dalam syarikat tersebut diketahui pernah terlibat dengan ajaran sesat al-Arqam lebih 30 tahun lalu.
Bagaimanapun, berhubung isu eksploitasi kanak-kanak dan jenayah lain, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada polis untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan terhadap laporan-laporan yang diterima pihak berkuasa itu sebelum ini.
Katanya, kerajaan negeri melalui menyiasat dari sudut akidah dan sebaran ajaran agama yang dilakukan oleh individu-individu yang dikaitkan dengan kumpulan tersebut.
“Wujud dakwaan yang mengaitkan mereka dengan ajaran sesat sebelum ini seperti al-Arqam. Justeru, semua dalam pengetahuan MAIS dan pemantauan sememangnya sudah lama dilakukan.
“Ada aduan diterima, sebab itu juga siasatan dan pemantauan dibuat. Tetapi, saya tidak mahu terus membuat kesimpulan terlalu awal untuk mengaitkan sama ada individu berkenaan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan akidah Islam atau tidak, biar MAIS yang siasat,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan wakil syarikat GISBH menunggu maklum balas daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengadakan pertemuan susulan isu terkait dengan syarikat berkenaan eksploitasi kanak-kanak dan ajaran sesat.
Wakil pengurusan GISBH berkata, meskipun surat permohonan dihantar pada 1 September lalu bagi mengadakan pertemuan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar untuk meminta pandangan dan nasihat, namun masih belum menerima sebarang maklum balas sehingga kini.
Sebelum ini, Jakim diarahkan mengadakan pertemuan dengan pihak GISBH susulan isu yang terkait dengan syarikat berkenaan berhubung eksploitasi kanak-kanak dan ajaran sesat.
Mohd. Na’im berkata, pertemuan itu bagi mendapatkan maklum balas serta penjelasan daripada pihak terbabit. Pada masa sama, kata beliau, Jakim akan memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri dalam melakukan siasatan kepada isu yang dikaitkan dengan pihak tersebut. – UTUSAN










