Kehebatan 'Tafsir al-Wasit' - Utusan Malaysia

Kehebatan ‘Tafsir al-Wasit’

SHEIKH TANTAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di permulaan kitab Tafsir al-Wasit karangan Sayyid Mohammad Tantawi menyatakan bahawa Allah SWT meletakkan dalam al-Quran ini perkara berkaitan akidah yang betul, ibadat yang sempurna, hukum-hakam yang mulia, adab-adab yang terpuji, pengajaran yang sampai ke lubuk hati dan saranan yang berhikmah.

Semua ini menjadikan kekuatan kepada agama Islam, ummah yang berjaya, kumpulan yang mendapat petunjuk dan apabila diamalkan ajarannya seseorang muslim itu akan sempurna akidah, tingkah laku dan lengkap semua dimensi kehidupannya.

Kitab al-Quran ini adalah seafdal kitab yang diturunkan dari langit. Memenuhi seluruh kehendak manusia. Mengumpulkan semua kebaikan dan kekal sepanjang masa. Paling lengkap dan sahih petunjuknya kepada manusia untuk kebaikan mereka di dunia dan di akhirat.

Mukadimah Tafsir al-Wasit ini begitu kuat dari sudut susunan isi dan objektif penurunan al-Quran. Nama pengarangnya ialah Sheikh Muhammad Sayyid Atiyyah Tantawi. Beliau dilahirkan pada 28 Oktober 1928 di Suhaj, Mesir.

Beliau memulakan pengajian di kampungnya dengan menghafal al-Quran. Di peringkat ijazah, beliau menyambung pengajian di fakulti usuluddin, Universiti al-Azhar dan berjaya beroleh ijazah pada 1958. Berjaya memperolehi ijazah sarjana pada 1959 dan memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD) dalam jurusan tafsir dan hadis pada 1966.

Sheikh Tantawi pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti al-Azhar dalam bidang tafsir. Beliau juga dilantik sebagai pensyarah di Libya selama empat tahun dan sebagai ketua jabatan tafsir di Pengajian Siswazah di Universiti Islam Madinah.

Dengan kealiman yang tinggi dalam semua bidang ilmu, pada 1986, beliau dilantik sebagai Mufti Kerajaan Mesir. Pada 1996, Sheikh Tantawi dilantik ke jawatan tertinggi dalam dunia pendidikan iaitu sebagai Sheikh al-Azhar.

TAFSIR AL-WASIT

Kitab ini mengandungi 15 jilid dengan lebih 7,000 halaman. Dalam mukadimahnya ada diterangkan tujuan al-Quran diturunkan. Sebab paling utama al-Quran diturunkan ialah sebagai mukjizat yang bercakap kepada seisi dunia dengan kaedah yang benar dan menyampaikan ajaran daripada Allah SWT.

Nabi SAW datang kepada manusia berdakwah membawa mereka untuk meng-Esakan Allah SWT dan kemuliaan akhlak.

Nabi SAW bersabda kepada mereka dengan berkata: Sesungguhnya mukjizat yang dikurniakan kepada ku untuk menunjukkan kebenaran-ku ialah al-Quran. Dan jika kamu keliru atau rasa syak terhadap al-Quran maka kamu datangkan seumpama al-Quran tetapi mereka lemah tidak mampu datangkan sebuah kitab seumpama al-Quran.

Musyrikin Mekah juga dicabar mendatangkan 10 surah seumpama al-Quran tetapi mereka tidak mampu berbuat demikian sedangkan mereka adalah pakar bahasa dan sastera.

Yang terakhir mereka dicabar dengan satu surah sahaja namun tetap tidak berdaya menandingi kehebatan al-Quran. Dalam perkara ini mereka senyap membisu, amat hina dan benarlah al-Quran datang daripada Allah SWT. Jika ia datang selain daripada Allah sudah tentu mereka akan dapati banyak kekhilafan dalam al-Quran.

Dalam mukadimah tafsirnya, Sheikh Tantawi menjelaskan beberapa perkara penting berkaitan tujuan al-Quran diturunkan, kelebihan al-Quran dengan ulasan tersendiri terhadap hadis atau ayat al-Quran berkaitan.

Beliau menyatakan, Allah SWT memberi jaminan terhadap penjagaan al-Quran dengan menjadikan al-Quran terpelihara sepanjang zaman secara mutawatir dan benar. Generasi demi generasi menaqalkan al-Quran dengan riwayat yang sahih sehingga sampai sanadnya kepada Rasulullah SAW.

Di samping itu, Allah SWT menyediakan tokoh-tokoh yang menghabiskan banyak masa kehidupan mereka untuk berkhidmat kepada al-Quran. Mereka mengkaji berkaitan I’jaz dan sastera, menulis berkaitan kisah dalam al-Quran, mengkaji berkaitan asbab nuzul, rasm, qiraat, lafaz-lafaz yang ganjil dan kajian-kajian yang lain.

Ramai yang menulis tentang tafsir al-Quran, menerangkan maksud dan makna lafaz al-Quran kerana kebahagiaan sebenarnya bagi seseorang dan ummah adalah mengambil hidayah dari ajaran al-Quran.

Pengajaran ini tidak akan dapat dikutip kecuali dengan cara mengungkap makna lafaz al-Quran yang dipanggil sebagai ilmu tafsir.

Tanpa ilmu tafsir yang dihurai dengan cara yang betul tidak mungkin seseorang mencapai panduan dan ajaran al-Quran meskipun pembaca berulang kali membaca setiap lafaz dan ayat-ayatnya.

Iyas Ibn Muawiyah menyatakan, perumpamaan orang yang membaca al-Quran tetapi tidak memahami tafsirnya adalah seumpama satu kaum yang menerima surat daripada raja mereka pada waktu malam. Sedangkan mereka tidak mempunyai lampu. Mereka gusar dan takut apakah kandungan isi surat tersebut.

Perumpamaan orang yang mengetahui ilmu tafsir pula adalah seumpama seorang lelaki yang datang kepada kumpulan tersebut dengan lampu, justeru mereka boleh membaca surat tersebut.

Sheikh Tantawi memetik kata-kata Ibn Kathir dalam menerangkan sebaik-baik kaedah untuk mentafsir al-Quran, “maka wajib kepada ulama untuk menyingkap makna kalam Allah, menafsirkan dan mengambilnya dari sumber yang betul, terus mempelajari dan mengajarnya…”

Jika ditanya apakah kaedah terbaik terbaik? Sesungguhnya kaedah tafsir terbaik ialah tafsir al-Quran dengan al-Quran. Apa yang disebut secara mujmal di sesuatu tempat diterangkan pada tempat yang lain.

Jika tidak ada jawapan maka rujuklah sunnah Rasulullah SAW kerana fungsinya adalah menerangkan makna al-Quran. Seterusnya rujuklah kepada pendapat para sahabat r.a kerana mereka adalah generasi yang menyaksikan penurunan al-Quran, mengetahui sebab penurunan, mempunyai kefahaman yang sempurna dan beramal dengan amalan yang soleh.

Beliau berkata, jika kamu melihat di perpustakaan Islam kamu akan dapati puluhan kitab tafsir. Ada yang dikaryakan ulama terdahulu dan ada yang ditulis oleh ulama moden. Ada yang tebal dan panjang huraiannya dan ada yang ringkas.

“Ada yang yang menggunakan kaedah ma’thur dan yang menggunakan kaedah ra’yun. Ada yang cenderung kepada perbahasan fiqh, falsafah, sastera, kesufian, kemasyarakatan, sains, menyokong kumpulan tertentu atau kaedah yang lain mengikut idea atau pemikiran penulis, keilmuan dan mazhab yang mereka pegang.

“Kadang-kadang kamu dapati terdapat cerita khurafat, pendapat yang lemah, kisah yang tidak ada sumber atau perkara yang tidak ada kaitan dengan tafsir.

“Sesungguhnya aku banyak mengambil manfaat dari penulisan berkaitan tafsir al-Quran, maka di sini aku kemukakan kepada kamu satu tafsir yang sederhana dan ideal untuk surah al-Fatihah dan al-Baqarah.

“Dan aku telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadikannya satu tafsir yang tinggi mutu ilmunya dengan menjauhi pendapat yang daif, kekeliruan dan makna yang lemah,” katanya.

Jenazah almarhum Sheikh Tantawi disemadikan di perkuburan Baqi’, Madinah.

Setelah memberi sumbangan yang besar kepada dunia Islam, pada 10 Mac 2010 ketika Sheikh Tantawi menghadiri seminar di Riyadh iaitu dalam perjalanan ke lapangan terbang beliau diserang sakit jantung dan meninggal dunia.

Bagi memberi penghormatan kepadanya, jenazahnya disolatkan di Masjid Nabi dan dikebumikan di perkuburan Baqi’.

  • PM Dr. Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×