Motif batik gamit nostalgia kampung halaman

Motif batik gamit nostalgia kampung halaman

RAJA Permaisuri Agong, Tuanku Raja Zarith Sofiah (depan, dua kiri) berkenan menyerahkan replika cek kepada pemenang bagi kategori Fesyen iaitu Suzieana Rahim (kanan) pada Grand Finals Piala Seri Endon 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini. – utusan/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Keindahan pemandangan dan nostalgia balik raya ke kampung halaman yang diadaptasi ke dalam motif batik canting yang cukup halus, melayakkannya muncul sebagai Juara bagi kategori Fesyen pertandingan rekaan batik Piala Seri Endon (PSE) 2024, baru-baru ini.

Rekaan kumpulan Suzieana Rahim yang terdiri daripada Suzieana Rahim,36, Mohd Fadhil Md.Taib,38, dan Mohd Nizam Shahbudin,33, berjaya mengenepikan 11 lagi kumpulan dalam kategori berkenaan sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM30,000 serta Piala Seri Endon.

Mohd Fadhil berkata, koleksi pakaian rasmi dan kasual untuk lelaki dan wanita itu memaparkan lukisan suasana meriah kampung halaman seperti rumah kampung tradisional yang tinggi nilai estetikanya dengan motif bunga-bungaan, permainan dan kain sarung.

“Idea yang diterapkan berinspirasikan suasana di mana semua orang pulang kampung untuk berhari raya. Orang Malaysia sememangnya banyak kenangan di kampung. Salah satu rumah yang dipaparkan adalah rumah Melaka.

“Proses paling mencabar dalam menghasilkan koleksi ini adalah untuk memberikan tumpuan kepada teknik canting halus sepenuhnya di mana motif yang dipaparkan sememangnya cukup teliti,” katanya.

Menggunakan kain creep yang digandingkan dengan sifon untuk koleksi wanita dan kain kapas linen untuk lelaki, warna merah hati dan maroon gelap cukup memukau pandangan.

Gaun yang meleret berlengan panjang dan seluar panjang longgar, tampak anggun digayakan untuk acara di sebelah petang.

Rekaan untuk lelaki pula adalah kemeja berkolar dan berlengan panjang yang digandingkan dengan seluar panjang kapas untuk gaya rasmi. Rekaan untuk gaya santai menampilkan kemeja berpotongan baju Melayu dengan leher berpotongan Teluk Belanga.

DARI kiri Mohd. Nizam, Suzieana dan Mohd. Fadhil muncul juara kategori Fesyen.

Mohd Fadhil berkata kumpulannya mengambil masa sehingga tiga minggu untuk menyiapkan ke semua empat koleksi pakaian berkenaan.

Sementara itu, tempat kedua Kategori Fesyen dimenangi oleh Syahrul Amirul Samsuri bertemakan Warisan yang membawa pulang wang tunai RM10,000 dan piala. Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Mohd Faizul Noorizan bertemakan Jungle Spectrum yang meraih RM5,000 serta piala. Lima peserta lain bagi kategori itu menerima hadiah saguhati wang tunai bernilai RM1,000.

Kesemua hadiah disampaikan oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Raja Zarith Sofiah. Turut hadir, Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia (Penyayang), Nori Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Penyayang, Datuk Leela Mohd Ali dan Ketua Juri Pertandingan PSE, Prof Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa.

Pertandingan Fesyen Rekaan Batik Piala Seri Endon 2024 yang kini memasuki tahun ke-19, menerima 35 penyertaan berbanding 38 penyertaan pada tahun lalu.

Pereka perlu menghasilkan empat set pakaian lengkap iaitu satu set lengkap pakaian formal lelaki dan wanita serta satu set pakaian kasual lelaki dan wanita. Pusingan Separuh Akhir bagi Kategori

Fesyen diadakan pada 17 sehingga 18 Ogos lalu.

Juri peringkat akhir adalah terdiri daripada profesional dalam industri fesyen yang diketuai oleh Dr. Mohamed Najib. Juri lain, Datuk Tom Abang Saufi, Datuk Radzuan Radziwill, Carven Ong dan Prof. Dr. Mandana Barkeshli.

Produk kraf khas untuk OKU penglihatan jadi juara

Pengalaman hampir hilang penglihatan akibat kencing manis memberikan inspirasi kepada Nazira Radzali,46, untuk menghasilkan produk permainan untuk kanak-kanak Orang Kurang Upaya

(OKU) Penglihatan, sekaligus dinobatkan sebagai juara kategori Kraftangan.

Nazira yang meraih RM30,000 mempertaruhkan produk bertemakan Mata Hati, mengandungi koleksi permainan lembut, beg dan beg untuk menyimpan peralatan menulis dilengkapi tulisan

Braile khusus untuk kanak-kanak berusia dua tahun ke atas.

“Ilham untuk menghasilkan produk ini adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri yang mengalami masalah mata kesan daripada penyakit kencing manis yang dialami sejak enam tahun lalu.

“Apabila bacaan gula terlalu tinggi, penglihatan saya akan menjadi kabur. Setiap kali bangun pagi, saya terfikir bagaimana kalau tiba-tiba saya hilang penglihatan? Apa inisiatif saya untuk belajar? Jadi, saya belajar tulisan Braile,” katanya.

Nazira yang juga adalah pegawai berpangkat Sarjan Mejar di Penjara Kajang, berkata tulisan Braile yang berbentuk angka dan huruf ABC itu diperbuat daripada sulaman pewarna yang timbul.

Manakala kesan retakan batik terhasil daripada teknik pemisah warna daripada campuran tepung gandum dan kastard.

Menurut Nazira yang pernah memenangi tempat kedua bagi kategori sama pada tahun lalu, dia berhasrat untuk membuka bengkel mengajar membuat batik di Batu Gajah, Perak dalam masa terdekat. Bengkel itu terbuka kepada mereka yang berminat terutama golongan OKU dan ibu tunggal untuk menambah pendapatan mereka.

 

Tuanku Raja Zarith Sofiah melawat dewan pameran yang mempamerkan produk yang dipertandingkan.

Tempat kedua bagi kategori Kraftangan dimenangi oleh kumpulan Artion bertemakan Palooza dan ketiga Kumpulan Cendana bertemakan Catnip. Lima pemenang saguhati menerima hadiah wang tunai RM1000 bagi setiap kategori.

Bagi kategori ini, peserta perlu menghasilkan tujuh barangan secara keseluruhan, masing-masing satu aksesori fesyen, alat tulis, mainan dan pembungkusan kreatif serta tiga barangan kraf pilihan peserta sendiri.

Set bilik tidur bermotif kelarai pikat juri

Sementara itu, tempat pertama bagi kategori Kemasan lembut dimenangi kumpulan Wariseni yang dianggotai oleh Syahrul Amirul Samsuri,36, dan Siti Maisharah Alias,39, berjaya membawa pulang wang langsir yang berinspirasikan motif bunga dandelion iaitu bunga paliman atau jombang.

Gabungan warna coklat muda, hitam, biru muda dan putih sebagai latar motif cadar, bantal dan langsir, menghasilkan suasana bilik tidur yang tenang. Fabrik daripada kapas pada cadar turut memberikan keselesaan.

“Motif dihasilkan menggunakan teknik rusty print dan canting lilin iaitu menggunakan logam karat pada kain batik. Selepas itu, kain batik akan dirawat dengan merendamkannya di dalam air kapur untuk meneutralkan asid karat berkenaan,” katanya yang sudah sembilan kali mencuba nasib dalam pertandingan sebelum ini.

Syahrul turut memenangi tempat kedua bagi kategori fesyen yang menampilkan koleksi pakaian bermotif tradisional iaitu motif kelarai. Kelarai adalah hasil anyaman buluh yang membentuk corak kelarai pada dinding-dinding rumah tradisional Melayu yang diterapkan dalam pakaian dengan gabungan warna biru, putih dan kuning.

“Saya mengambil masa dua bulan untuk menyiapkan koleksi ini bermula daripada proses mereka corak batik sehinggalah menghasilkan empat pasang persalinan. Kesemuanya menggunakan beberapa teknik batik iaitu canting, blok dan berus,” katanya.

Manakala tempat kedua dan ketiga bagi kategori Kemasan Lembut ini pula dimenangi oleh kumpulan When Batik Meet Yarn dan Dinda. Masing-masing meraih RM10, 000 dan RM5,000 serta piala.

Sebanyak 26 penyertaan diterima bagi kategori Kraftangan dan 13 penyertaan bagi kategori Kemasan Lembut. Jumlah itu menunjukkan peningkatan penyertaan iaitu sembilan bagi kategori

Kraftangan dan 24 bagi Kemasan Lembut pada tahun lalu.

Bagi kategori ini, peserta dikehendaki mempamerkan hasil kerja mereka di bilik yang disediakan di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur untuk sesi penghakiman. Kategori ini bermatlamat menggalakkan pemikiran lebih kreatif dalam penggunaan batik untuk hiasan rumah.

Kesemua pemenang dan penyertaan kraftangan dan kemasan lembut dipamerkan dalam satu pameran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Pertandingan Rekaan Batik Piala Seri Endon dianjurkan oleh Yayasan Budi Penyayang Malaysia (PENYAYANG) di bawah Pergerakan Batik Malaysia-Ciptaan untuk Dunia bermatlamat menyediakan platform sokongan, pengiktirafan dan dorongan bagi pembuatan batik Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×