DHAKA: Ribuan pelajar berhimpun di Bangladesh pada Khamis untuk memperingati sebulan kejatuhan bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina dalam protes Dhaka, Julai lalu.
Pelajar, pekerja dan keluarga mereka yang terkorban dalam pergolakan itu menyertai perarakan dengan membawa bendera negara sambil melaungkan slogan.
Protes antikerajaan yang bermula pada Julai pada awalnya adalah gerakan dipimpin pelajar untuk membantah sistem kuota pekerjaan sektor awam, sebelum meluas menjadi kebangkitan nasional menentang Hasina.
Lebih 1,000 maut dalam pergolakan tersebut, memaksa Hasina meletakkan jawatan dan melarikan diri ke India pada 5 Ogos, sejurus kediaman rasminya diserbu oleh orang ramai.
Keganasan berlanjutan selama beberapa hari selepas beliau melarikan diri.
Kerajaan sementara yang dipimpin penerima Hadiah Nobel Keamanan, Muhammad Yunus menggantikan pentadbiran Hasina, dengan mandat untuk memulihkan kestabilan selepas keganasan paling dahsyat di negara itu sejak kemerdekaan pada 1971.
Pentadbiran sementara itu bermatlamat melaksanakan pembaharuan dan mengadakan pilihan raya Parlimen baharu.
Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya, Kazi Habibul Awal meletak jawatan hari ini, berikutan rombakan besar-besaran dalam pentadbiran.
Perubahan pentadbiran ini juga menyebabkan pemecatan ketua hakim, gabenor bank pusat dan ketua polis yang mengawasi tindakan keras terhadap pelajar, bersama beberapa pegawai lain.- REUTERS










