Dewi Seriestha ingin jadi wakil rakyat, angkat budaya Bidayuh

Dewi Seriestha ingin jadi wakil rakyat, angkat budaya Bidayuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Dewi Liana Seriestha, 34, mendedahkan menyimpan hasrat untuk menjadi wakil rakyat di Sarawak.

Menurut Dewi, impian itu timbul selepas memenangi anugerah Miss World Talent di Miss World 2014 ketika mewakili Malaysia di London.

“Sekarang saya baru habis Ijazah Sarjana dan antara sasaran utama saya selepas tamat belajar ini adalah untuk menjadi wakil rakyat. Wakil kepada orang-orang saya.

“Saya mahu menjadi wakil kepada kaum Bidayuh, tidak kisah perjuangan saya dari segi muzik, kepada daerah atau perkampungan.

“Walaupun bidang agak lain dengan apa yang saya pelajari, sekurang-kurangnya saya memiliki sesuatu (Ijazah Sarjana) untuk ditunjukkan jika ada yang mempertikaikan saya. Walaupun sijil saya berkaitan muzik, saya boleh ajar anak-anak muda berkenaan budaya bidayuh,” katanya.

Dewi ditemui pada majlis pratonton panggung Selampai Labung di Theatrette, Wisma TV, Angkasapuri Kota Media di sini.

Selain itu, menurut bekas peserta Mentor itu, dia turut membuat beberapa persediaan untuk bergelar seorang wakil rakyat, walaupun masih dalam perancangan.

“Saya lebih banyak membaca, mengambil isu semasa berkenaan luar dan dalam negara serta banyak bergaul dengan orang yang luas pengetahuan.

“Saya seorang yang banyak bertanya. Bila saya jumpa ahli politik di Sarawak, saya akan bertanya bagaimana untuk menjadi seorang wakil rakyat yang bagus dan lain-lain kepada mereka.

“Kebanyakan mereka mengatakan bahawa mental harus kuat. Oleh itu, sekarang saya lebih fokuskan kepada perkara yang mampu untuk kuatkan mental,” ujarnya.

Perkembangan lain, Dewi bakal muncul sebagai Elvina dalam Selampai Labung arahan Danny Alamsyah yang bakal ditayangkan pada 14 September, 9.00 malam menerusi saluran TV1.

Telefilem itu mengisarkan tentang Elvina yang merupakan pewaris kepada Indu Ngar kembali pulang di Nanga Krau atas kepentingan peribadinya. Namun, terikatnya warisan, budi dan harapan membuatkan Elvina mengambil keputusan untuk tinggal di situ kembali.

Telefilem itu turut dibintangi Johan As’ari, Samarinna Tolhip, Wily Alfred, Tony Eusoff dan Sherie Merlis.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×