GRAZ : Seorang Pakar Bedah Saraf di Austria kini disiasat selepas didakwa membenarkan anak perempuannya yang berusia 13 tahun untuk menggerudi lubang pada tengkorak seorang pesakit semasa pembedahan otak.
Insiden tersebut berlaku pada Januari lalu, apabila seorang lelaki berusia 33 tahun terpaksa dikejarkan ke Hospital Universiti Graz di bandar Graz, Austria, selepas mengalami kemalangan serius di dalam hutan yang mengakibatkan kecederaan parah di bahagian kepalanya.
Pakar bedah saraf wanita yang mengendalikan pesakit berkenaan, yang identitinya tidak didedahkan dikatakan telah membenarkan anak perempuannya, yang bukan sahaja melakukan kesilapan dalam prosedur itu, malah turut menggerudi lubang pada tengkorak pesakit yang tidak sedarkan diri.
Namun begitu, pembedahan itu dilaporkan berjaya dan lelaki yang cedera itu mampu kembali menjalani kehidupan normal.
Menurut Oddity Central, tiada seorang pun di luar bilik pembedahan yang mengetahui tentang peranan aktif kanak-kanak itu dalam prosedur tersebut dan perkara ini hanya diketahui pada bulan Julai, apabila satu aduan tanpa nama dikemukakan kepada pejabat pendakwa raya di Graz mengenai penglibatan kanak-kanak bawah umur itu.
Walaupun siasatan mengenai kes yang mengejutkan itu sedang berjalan, pihak hospital Graz mengesahkan pakar bedah yang menjalankan pembedahan itu serta seorang pakar bedah kanan yang membantunya telah digantung tugas buat sementara waktu.
Kedua-dua pakar bedah tersebut disyaki menyebabkan kecederaan serius kepada tubuh pesakit, manakala lima kakitangan hospital yang terlibat dalam prosedur tersebut turut disiasat kerana gagal menghalang tindakan yang boleh dihukum oleh undang-undang.
Dalam perkembangan lain, pesakit tersebut bersiap untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap hospital berkenaan, dengan mendakwa beliau tidak mengetahui tentang penglibatan gadis bawah umur dalam pembedahan tersebut sehingga baru-baru ini apabila mendapat tahu melalui media serta tidak mampu untuk bekerja lagi selepas insiden itu terjadi.
Walaupun Hospital Graz menafikan penglibatan gadis bawah umur dalam pembedahan tersebut, namun pihak hospital menyatakan rasa kesal yang mendalam serta memohon maaf atas kejadian yang berlaku. -AGENSI











