PETALING JAYA: Kerajaan dan institut pengajian tinggi (IPT) perlu mengambil langkah proaktif dalam memastikan kepakaran graduan dalam pelbagai bidang digunakan sepenuhnya dan tidak hanya tertumpu pada ekonomi gig, sekali gus mengurangkan kesan buruk jangka panjang terhadap ekonomi negara.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan, Dr. Nurazilah Zainal berkata, tidak dinafikan IPT awam mahupun swasta telah melahirkan ramai graduan yang pakar dalam pelbagai bidang namun disebabkan pandemik Covid-19, kebanyakannya terkesan dan sukar mendapatkan pekerjaan.
Ujarnya, kebanyakan mereka mendapat pekerjaan yang tidak setanding dengan kelayakan berikutan persaingan dan desakan hidup sehingga ramai yang memilih untuk bekerja dalam sektor ekonomi gig.
“Graduan kini banyak terlibat dalam sektor ekonomi gig seperti penghantar makanan, pemandu e-hailing dan lain-lain. Trend ini amat merunsingkan kerana jika tiada langkah proaktif diambil segera, sekali gus akan melambatkan pertumbuhan ekonomi dalam jangka masa panjang.
“Itu adalah satu daripada kesan buruk daripada peluang pekerjaan yang sangat terhad pada waktu ini. Kepakaran dan kemahiran pelajar-pelajar ini akan dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa memberi manfaat kepada kemajuan sesebuah negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Menurut Nurazilah, tidak dinafikan ekonomi gig yang semakin berkembang membantu orang ramai terutama para graduan menyara kehidupan namun keadaan tersebut dikhuatiri ‘menumpulkan’ kepakaran generasi muda yang bakal menerajui pelbagai sektor penting negara.
Jelasnya, jika perkara tersebut berterusan, tidak mustahil pada masa akan datang negara mengalami kekurangan tenaga pakar dan perlu menggaji pekerja dari negara luar yang sudah tentu menelan belanja lebih tinggi.
“Oleh itu, pusat pengajian tinggi negara perlu memastikan pencapaian pembelajaran dan kurikulum pelajar yang seimbang supaya mereka lebih berdaya saing dan lebih bersedia menjejak alam pekerjaan.
“Sudah tentu kita tidak mahu tenaga kerja pakar ini disia-siakan begitu sahaja. Perkara ini bersangkut-paut dengan hala tuju ekonomi negara, jadi pusat pengajian tinggi serta kerajaan perlu memainkan peranan agar ekonomi negara kekal berdaya tahan.
“Selain itu, graduan juga perlu mengambil inisiatif memajukan diri mereka dengan meningkatkan kemahiran antaranya kemahiran berbahasa Inggeris yang dianggap penting agar kebolehan pelajar setanding dengan pelajar-pelajar dari negara luar,”ujarnya. – UTUSAN










