KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelamatkan 137 warga asing termasuk kanak-kanak disyaki menjadi mangsa eksploitasi buruh melalui Op Pintas Mega sejak awal tahun ini hingga Jun lalu.
Operasi Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu turut menahan 398 individu dipercayai terlibat jenayah pemerdagangan orang.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, operasi banteras jenayah pemerdagangan orang secara holistik tahun ini dibuat di seluruh negara menerusi dua fasa.
Menurut beliau, fasa pertama pada Januari lalu melalui 42 serbuan di seluruh negara.
“Dalam tempoh itu, seramai 285 individu membabitkan warga tempatan dan warga asing ditahan manakala 64 mangsa diselamatkan.
“Ia membabitkan 12 lelaki dan 22 wanita selain 10 kanak-kanak lelaki serta 20 kanak-kanak perempuan,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Bagi fasa kedua pada Jun lalu, menurut Soffian, sebanyak 33 serbuan dengan 113 tangkapan membabitkan warga tempatan dan asing.
Katanya, polis menyelamatkan 73 individu iaitu 25 lelaki, 26 wanita serta 22 kanak-kanak lelaki.
Mengulas mengenai kewarganegaraan mangsa yang diselamatkan, beliau berkata, paling ramai adalah warga Myanmar iaitu 35 orang diikuti Thailand (25 orang) dan Indonesia (23 orang).
“Selebihnya membabitkan Bangladesh (17 orang), Filipina (9 orang), Malaysia (8 orang), Kemboja, Vietnam dan China masing-masing lima orang, etnik Rohingya (3 orang) serta dua Nepal,” ujarnya.
Jelasnya, operasi secara bersepadu melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pihak berkuasa tempatan ini menyasarkan premis kilang, ladang, perikanan, sektor perkhidmatan dan pengemis.
Tegas Soffian, PDRM tidak berkompromi dengan jenayah pemerdagangan orang dan akan mengambil tindakan undang-undang termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). –UTUSAN










