Ilmuwan Islam, Sidi Gazalba menyatakan bahawa seniman bertanggungjawab untuk menyatakan sesuatu perkara walaupun tidak disenangi oleh masyarakatnya.
Namun, apakah seni visual sepenuhnya selaras dengan konsep Maqasid Syariah, iaitu mematuhi objektif utama undang-undang Islam dan tujuan dalam bersyariat oleh umat?
Ini bukan hanya tentang mengetahui perkara yang tidak dibenarkan, tetapi juga memahami apa yang dibenarkan dalam Islam, serta sejauh mana aktiviti kesenian ini berfungsi sebagai medium mengenal kehebatan Allah SWT.

Selain itu, konsep kelangsungan seni visual dalam Islam, dan cabang kelestarian kehidupan umat melalui seni visual juga perlu diperjelas melalui konsep Maqasid Syariah.
Maqasid Syariah terdiri daripada dua perkataan iaitu ‘maqasid’ dan ‘syariah’ – secara ringkasnya, ‘maqasid’ merujuk kepada tujuan, manakala ‘syariah’ merujuk kepada sumber hukum atau kumpulan peraturan yang ditetapkan oleh Tuhan melalui al-Quran dan diterangkan oleh Rasulullah dalam hadis dan diperjelaskan oleh para ulama’.
Antara perkara yang dapat dikaitkan dalam perbincangan dua bidang ini adalah:
1) Seni Visual sebagai Platform Hifdzu Ad-Diin (حـفـظ الـديـن) atau Menjaga Agama – Seni visual dapat berperanan sebagai platform untuk Hifdzu Ad-Diin atau menjaga agama dengan menjadi medium dakwah Islam.
Melalui seni visual, pelukis dapat menyampaikan pesan-pesan Islam dengan cara yang menarik dan kreatif. Contohnya, lukisan yang menggambarkan keindahan alam ciptaan Allah atau kisah-kisah dari sejarah Islam dapat memberikan pengajaran kepada penonton.
Selain itu, seni visual juga dapat digunakan sebagai platform untuk menegur masyarakat melalui unsur qias atau sindiran.
Contohnya, lukisan yang menggambarkan realiti sosial yang tidak selaras dengan nilai-nilai Islam dapat divisualkan secara halus atau berkias untuk menyuarakan kebenaran tanpa menyentuh secara langsung.
2) Seni Visual sebagai Platform Hifdzu An-Nafs (حـفـظ النــفـس) atau Menjaga Jiwa – Seni visual memiliki potensi sebagai platform untuk Hifdzu An-Nafs atau menjaga jiwa, mirip dengan unsur terapi melalui seni visual.
Beberapa seniman menggunakan karya mereka sebagai sarana ekspresi diri dan penyembuhan emosi.
Contoh, proses mencipta lukisan dapat menjadi terapi untuk meredakan tekanan, kecemasan, atau depresi. Penonton juga dapat merasakan ketenangan dan kebahagiaan melalui apresiasi terhadap seni visual yang indah dan harmonis.
3) Seni Visual sebagai Platform Hifdzu Aql (حـفـظ العــقل) atau Menjaga Akal – Seni visual perlu menyogok nilai-nilai kebaikan dan murni yang memberi impak baik kepada akal.
Melalui visualisasi yang cerdas, seni visual dapat merangsang pemikiran positif dan memupuk kebijakan dalam berfikir.
Contohnya, lukisan yang menggambarkan keindahan alam atau makna-makna yang puitis dapat meningkatkan daya kreativiti dan pemahaman penonton.
Seni visual yang memberikan inspirasi positif juga dapat membentuk persepsi yang baik terhadap dunia dan meningkatkan kecerdasan emosional.
4) Seni Visual sebagai Platform Hifdzu An-Nasl (حـفـظ النـسـل) atau Menjaga Keturunan Seni visual yang mematuhi konsep Maqasid Syariah dapat menjadi asbab untuk pemeliharaan keturunan yang baik. Kelangsungan memelihara keturunan dapat disentuh melalui pelbagai aspek dalam seni visual antaranya hal pemasaran, berpameran, pemilihan visual, perjanjian jual-beli, dan pemilik-pemilik seni visual.
Perkara-perkara ini sangat penting untuk dijaga dan perbincangan dari konsep Maqasid Syariah.
Apabila sumber yang baik diterima keluarga, maka akan mewariskan kehidupan dan keturunan yang baik bagi kehidupan ummah.
5) Seni Visual sebagai Platform Hifdzu Al-Maal (حـفـظ المــال) atau Menjaga Harta – Seni visual yang mematuhi konsep Maqasid Syariah dapat menjadi asbab untuk pemeliharaan harta yang baik.
Melalui penghasilan karya seni yang patuh syariah, seniman dapat menciptakan harta secara halal.
Contohnya, penjualan lukisan atau hasil karya seni yang bebas daripada unsur riba atau haram dapat memastikan harta yang dimiliki seniman terjaga daripada kecemuhan.
Penghasilan harta dari seni visual yang sah secara syariah juga dapat menjadi sumbangan positif kepada kekayaan individu dan masyarakat secara keseluruhan. – UTUSAN










