SHAH ALAM: Suasana hiba menyelubungi Mahkamah Sesyen di sini selepas hakim menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan ke atas pendakwah selebriti, Da’i Syed.
Sewaktu hukuman dibacakan Hakim Norazlin Othman, tertuduh atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful, 29, dilihat menangis teresak-esak di kandang tertuduh.
Lebih memilukan, isteri penceramah itu, Nurulhana Ismail, 38, yang sedang berpantang anak pertama mereka turut menangis sebaik sahaja prosiding selesai.
Pengacara itu kemudian dilihat cuba menenangkan suaminya yang kelihatan sukar menerima keputusan berkenaan.
Sepanjang prosiding di akhir kes pembelaan itu, Syed Shah Iqmal yang berkemeja cerah dan berkot kelihatan sugul dengan hanya menundukkan wajahnya.
Ahli keluarga turut membawa bayi perempuan mereka yang berusia 16 hari untuk menemui penceramah itu sebelum dibawa ke Penjara Kajang.
Mahkamah memerintahkan Syed Shah Iqmal dibawa terus ke penjara selepas menolak penangguhan pelaksanaan hukuman.
Terdahulu, Norazlin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh didapati gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pembelaan hanya bersifat penafian semata-mata.
Mahkamah turut mengambil kira faktor peranan tertuduh sebagai penceramah dan pakar motivasi yang memberi impak besar kepada masyarakat terutama golongan muda.
“Sebagai pendakwah agama, perbuatan kamu itu (rogol) tidak boleh diterima akal yang munasabah.
“Mangsa terpaksa mengumpul kekuatan untuk tampil membuat laporan polis dan perlu melalui proses perundangan yang panjang di mahkamah,” tegas Norazlin ketika menjatuhkan hukuman ke atas Da’i Syed.
Berdasarkan pertuduhan, Syed Shah Iqmal didakwa merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di dalam bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, kira-kira pukul 1.35 pagi, 11 September 2019.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 10 April tahun lalu, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Namun, Mahkamah Tinggi di sini pada 7 Mac lalu memerintahkan dia membela diri selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.
Seramai 18 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang dijalankan bermula April 2022.- UTUSAN










