Wajah Malaysia pada busana, aksesori

Wajah Malaysia pada busana, aksesori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMANGAT patriotisme bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang pada kenderaan atau di rumah tetapi ia juga boleh ditonjolkan melalui pakaian.

Jika sebelum ini kebanyakan busana merdeka terhad kepada yang bermotifkan warna-warna bendera tetapi kini rekaannya lebih kontemporari, kasual dan stylo. 

Praktikaliti ditampilkan membolehkan ia dipakai dalam aktiviti seharian termasuk ketika bekerja atau bersantai dan bukan sematamata pada 31 Ogos sahaja.

Antara rekaan mencuri tumpuan ramai ialah keluaran Behati. 

Pengarah Kreatifnya, Kel Wen berkata, koleksinya memaparkan wajah-wajah Malaysia dalam usaha memupuk lagi rasa cinta pada tanah air. 

Istimewanya, beliau bukan sahaja meraikan tiga bangsa utama iaitu Melayu, Cina dan India bahkan merangkumi masyarakat Orang Asli suku Mah Meri serta Iban. 

Ia sekali gus bertepatan dengan elemen perpaduan yang menjadi DNA label itu selama ini. 

“Ada macam-macam cara untuk menzahirkan rasa sayang pada negara dan tidak semestinya helaian yang dihasilkan itu perlu nampak terlalu patriotik. 

“Saya pilih pendekatan lebih ceria dan dekat di hati masyarakat misalnya busana yang diinspirasikan daripada pasukan keselamatan, pekerjaan ikonik, restoran mamak dan kerusi malas. 

“Saya turut menghasilkan cheongsam yang diperbuat daripada fabrik sari dengan potongan pesak sebagai terjemahan keharmonian masyarakat berbilang bangsa di Malaysia,” katanya kepada Seri. 

 

Menurut Kel Wen, busana-busana inspirasi itu secara tidak langsung mengimbau nostalgia zaman kecil dan menjentik seseorang untuk menghargai asal-usul mereka. 

Dalam masa sama, dapat mendidik masyarakat menghargai keamanan dan perpaduan dinikmati sejak negara mencapai kemerdekaan. 

Sebanyak 57 busana kasual dihasilkan dalam koleksi merdeka itu dengan kebanyakannya berpotongan oversize dan baggy termasuk kemeja dan seluar. 

Pereka muda ini turut menghasilkan beg pasar, diinspirasikan daripada bungkusan plastik makanan yang sinonim sebagai identiti rakyat Malaysia. 

Semua ini merupakan koleksi merdeka kedua keluaran Behati dengan yang pertama diperkenalkan pada 2020, bertemakan Wawasan 2020

 

PETA MALAYSIA, BUNGA RAYA 

Sekali imbas mungkin tiada siapa menyangka corak-corak pada busana baju kurung ini diilhamkan daripada peta Malaysia. 

Kreativiti Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Kreatif Bayu Somerset, Diana Kamalul membolehkan helaian itu tampak indah apabila digayakan si pemakai. Selain peta, ia turut dihiasi corak bunga kebangsaan, bunga raya. 

“Ini merupakan kali pertama Bayu Somerset mengeluarkan koleksi merdeka dan saya cuba buat kelainan dengan menampilkan lambang atau identiti Malaysia tetapi dalam bentuk lebih kreatif iaitu peta. 

“Di samping itu, saya turut mengangkat elemen budaya dengan menjadikan wau bulan sebagai corak pada satu lagi rekaan baju kurung. 

“Untuk lebih menarik saya gabungkan corak permainan tradisi itu dengan kerawang berbentuk batik,” katanya. 

Pendekatan diambil Bayu Somerset mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pelanggannya. 

Menurut Diana, rata-ratanya berpuas hati dengan rekaan seakan-akan batik itu kerana tidak pernah dilakukan sebelum ini.

“Biarpun semangat kemerdekaan boleh disuntik menerusi pakaian, sama seperti dalam situasi Palestin apabila rakyat Malaysia memakai baju-baju bertemakan bendera negara itu. 

“Namun, pereka perlu kreatif memilih atau menyusun simbol dan lambang Malaysia agar rekaan tampak menarik dan kontemporari,” katanya.

TANAH AIR PADA WAFER SYILING 

Sempena kempen merdeka tahun ini, syarikat barangan kemas tempatan, Habib Jewels Sdn. Bhd., menampilkan elemen tanah air dalam koleksi wafer syiling emas 999.9. Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib, Datuk Seri Meer Sadik Habib berkata, pemilihan elemen itu bagi meraikan keindahan perpaduan dan diversiti di Malaysia. 

Dalam masa sama, ia sebagai penghormatan kepada elemen budaya ikonik Malaysia yang meliputi flora dan fauna, mercu tanda bersejarah serta komuniti etnik berbeza. 

Koleksi terbaharu yang memiliki lima reka bentuk iaitu sentral, selatan, Borneo, pantai timur dan utara Malaysia itu berharga RM138 atau RM690 sebagai set istimewa. 

CHARM DURIAN COMEL 

Buat peminat durian, dapatkan charm berbentuk raja buah itu keluaran Pandora Malaysia sempena sambutan kemerdekaan. 

Gelang atau rantai anda pasti tampak lebih menarik dengan charm unik itu. 

Selain durian, terdapat empat lagi bentuk lain dalam koleksi ini iaitu peta malaysia, bunga raya dan mercu tanda ikonik, menara berkembar Petronas (KLCC)

BINA BENDERA, PETA GUNA 30,000 LEGO 

DI taman tema Legoland, pengunjung berpeluang menyertai aktiviti membina Jalur Gemilang dan peta Malaysia dengan menggunakan lego. 

Aktiviti berlangsung sehingga 16 September depan, merupakan sebahagian daripada program sambutan Hari Kebangsaan dan Malaysia. Pengarah Bahagian Legoland Malaysia Resort, CS Lim berkata, penghasilan binaan itu menggunakan sejumlah 30,000 lego daripada 19 warna berbeza. 

“Ia selaras untuk memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan generasi muda dan misi mewujudkan persekitaran untuk anak-anak dan ibu bapa meneroka, belajar dan berkembang melalui permainan imaginatif,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×