CUTI umum sempena Hari Kemerdekaan hari ini pasti ramai yang berkumpul bersama keluarga dan sanak-saudara di rumah.
Alang-alang itu bolehlah menghabiskan masa bersama-sama untuk membuat kek cawan ini.
Menariknya, ia dihiasi dengan corak bunga raya yang juga bunga kebangsaan negara.
Sambil berseronok boleh juga semarakkan lagi kemeriahan hari kebangsaan dengan kek cawan bunga raya.
Resipi kali ini dikongsikan oleh pemilik bakeri Cupcake Fleurblossom_Cake, Hani Che Lin.
BAHAN-BAHAN
250 gram mentega
170 gram gula kastor
1 sudu makan ovalette
4 biji telur gred A
1/2 sudu teh esen vanila
100 mililiter (ml) susu segar
250 gram tepung naik sendiri
CARA-CARA
1. Putar mentega dengan gula sampai gebu.
2. Tambah telur sebiji demi sebiji dan putar sampai kembang jadi putih gebu.
3. Masukkan esen vanila dan gaul sebati.
4. Masukkan tepung dan susu Putar laju sampai sebati. Akhir sekali putar perlahan untuk buang angin dalam adunan.
5. Masukkan dalam bekas kek cawan dan bakar pada suhu 180 darjah selsius selama 40 minit bergantung kepada ketuhar masing-masing.
KRIM PUTAR
Putar dua cawan krim putar bukan tenusu (non-dairy). Boleh guna mana-mana jenama dipasaran. Putar sampai kental.
Kemudian ambil sedikit letak dalam satu bekas dan bancuh dengan pewarna merah.
Masukkan krim dalam piping bag dengan menggunakan nozel 125 untuk buat bunga raya.










