Tampil neutral dengan smokey sultry allure

Tampil neutral dengan smokey sultry allure

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELIHAT gaya-gaya solekan pempengaruh di media sosial kadang kala boleh membuatkan kaum hawa bingung dan takut untuk bersolek. 

Terlalu banyak langkah yang perlu dilakukan hingga mengambil masa berjam-jam di depan cermin di samping penggunaan pelbagai jenis alat solek. 

Hasilnya memang cantik tetapi kadang kala nampak keterlaluan dan kurang sesuai untuk digayakan dalam rutin harian termasuk ketika bekerja atau bersantai. 

Sedar tentang situasi itu, jurusolek berpengalaman, Syed Faizal Syed Noh berkongsi gaya solekan mudah dan ringkas bagi diamalkan wanita. 

Katanya, sentuhan solekan smokey sultry allure mampu menyerlahkan kejelitaan dan pesona seseorang. “Solekan ini lembut tetapi bold dan sesuai untuk pelbagai peringkat usia. 

“Walaupun ia memfokuskan pada bentuk mata, namun tidak keterlaluan dan wanita masih boleh tampil neutral,” katanya kepada Seri ketika sesi solekan produk berjenama Revolution baru-baru ini. 

Menariknya, Syed Faizal berkata, smokey sultry allure digayakan pada bila-bila masa sama ada ketika siang atau malam. 

Bagi yang mahu menghadiri majlis penuh glamor di waktu malam, pemilihan rona solekan mata termasuk pembayang disarankan berwarna lebih gelap. 

“Untuk mendapatkan gaya solekan sempurna, seseorang perlu sentiasa mengadun. 

“Ia merupakan asas penting kepada smokey sultry allure,” katanya.

 

PREP WAJAH 

Solekan tahan lebih lama dengan melakukan proses prep (persediaan) pada wajah.

Proses itu tidak semestinya perlu melibatkan banyak produk kecantikan sebaliknya memadai dengan menggunakan pelembap. 

“Saya tahu ramai wanita yang mengejar masa dan serba-serbi mahu cepat, tetapi jangan sesekali mengabaikan pelembap.

“Buat urutan mudah ketika mengolesnya dan kemudian, gunakan dua jari serta picit lembut pada kulit untuk menentukan tahap kelembapan,” katanya.

Syed Faizal turut berpesan agar tidak mengoles terlalu banyak pelembap bagi mengelak wajah berminyak.

Langkah seterusnya disusuli dengan primer.

“Selepas itu, barulah boleh sapukan bedak asas mengikut tona kulit dengan menggunakan span beauty blender.

“Pastikan ia rata dan tidak perlu terlalu tebal atau berlapislapis kerana akan membuatkan solekan lekas ‘pecah’,” katanya.

Kemudian, gunakan concealer dan contour disusuli dengan pemerah pipi, bedak tabur, mata, kening dan gincu. 

CUKUP DUA WARNA 

Bagi mendapatkan solekan ini, tidak perlu meletakkan terlalu banyak rona pembayang mata sebaliknya dua warna sahaja sudah mencukupi iaitu daripada jenis matte dan shimmer. 

“Bagi yang kurang mahir bersolek, disarankan membuat bahagian mata terlebih dahulu sebelum memakai bedak asas.

“Langkah ini memudahkan anda untuk memadam atau membetulkannya tanpa merosakkan bahagian-bahagian lain,” katanya. 

Untuk langkah selamat, sentiasa pilih warna-warna pembayang mata yang lembut. 

Katanya, smokey tidak bermaksud solekan seseorang perlu nampak gelap hingga menjadi seperti mata panda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×