Usah heret istana dalam tohmahan, fitnah politik - Sultan Selangor

Usah heret istana dalam tohmahan, fitnah politik – Sultan Selangor

SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, institusi raja tidak sepatutnya diheret dengan tohmahan dan fitnah berkaitan isu-isu politik.

Baginda bertitah, institusi raja adalah above politics, justeru sebarang bentuk teguran dan kritikan terhadapnya perlu melalui saluran yang betul dan dikendalikan secara berhemah.

“Beta menyeru seluruh rakyat jelata untuk sama-sama bertanggungjawab mengharmonikan dan menyuburkan perpaduan tanpa perlu meracuni pemikiran rakyat dengan unsur-unsur negatif terutama isu 3R (institusi raja, bangsa dan agama) dalam menegakkan pemerintahan berkonsepkan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

“Beta sering menasihati para pemimpin dan ahli politik untuk mengelak daripada mencetuskan politik kebencian, namun demikian budaya negatif itu masih diamalkan oleh sebahagian pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli politik,” titah baginda sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024, hari ini.

Titahnya, baginda tidak akan jemu untuk terus menasihati seluruh rakyat agar sentiasa memupuk semangat perpaduan yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

Ini kerana menurut baginda, segala perbezaan kaum, agama, fahaman politik tidak seharusnya menjadi penghalang bagi rakyat Malaysia memberikan taat setia kepada negara.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menyentuh perihal generasi muda yang mudah terdedah dengan ancaman penjajahan bentuk baharu berhubung aspek pemikiran dan budaya berkembang seiring kepesatan teknologi maklumat khususnya media sosial.

“Justeru, generasi muda perlu bijak dalam mendepani dan menyelesaikan segala permasalahan serta cabaran yang mendatang.

“Semangat patriotik, toleransi dan saling hormat-menghormati perlulah terus diterapkan ke jiwa generasi muda dan dizahirkan dalam bentuk perpaduan jitu, keharmonian yang utuh serta bebas daripada sebarang elemen negatif.

“Beta yakin dengan penghayatan tentang erti sebenar kemerdekaan ini akan dapat menyuburkan kembali semangat cinta kepada negara demi membentuk sebuah negara yang maju dan progresif,” titahnya.

Titahnya lagi, baginda menyeru sempena Bulan Kemerdekaan supaya bersama-sama bersatu hati menjadikan negara ini merdeka yang berdaya saing, maju dan makmur.

“Jauhilah daripada segala amalan budaya hasad dengki, fitnah memfitnah serta mengadu domba dan menghasut yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×