PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan Wan Kuzain Wan Kamal bersedia untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
Hamidin berkata, pemain tengah St. Louis City 2 itu sepatutnya menyertai kem Harimau Malaya untuk kalendar antarabangsa FIFA bulan September ini, namun faktor kecederaan menjadi penghalang.
“Sepatutnya Wan Kuzain sudah menyertai kita kali ini (September). Beliau sudah pun beberapa kali menghubungi saya tetapi ketika ini beliau sedang cedera.
“Beliau memberitahu saya bahawa selepas kecederaannya pulih, beliau siap sedia secepat mungkin untuk membantu Malaysia,” katanya dalam sidang media yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Selain Wan Kuzain, Harimau Malaya yang dibimbing Pau Marti Vicente juga berpotensi diperkuatkan dengan kehadiran pemain pertahanan Go Ahead Eagles, Mats Deijl.
Hamidin berkata, beliau telah dimaklumkan oleh ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente bahawa telah dihubungi oleh seorang pemain yang beraksi di Eridivisie iaitu liga utama Belanda.
“Pemain yang dimaksudkan ini ialah Mats Deijl dari Belanda. Beliau memaklumkan bahawa datuknya berasal dari Malaysia. Kita sedang dalam proses dan kita ketika ni bersama jurulatih dan staf sedang melakukan penilaian untuk membolehkannya mewakili negara,” ujar Hamidin.-UTUSAN










