Jie mahu 'merdeka' dari penyalahgunaan dadah

Jie mahu ‘merdeka’ dari penyalahgunaan dadah

JIE (tengah, baju biru) bersyukur apabila dipilih menyertai Program Pelepasan OBB sempena Hari Kebangsaan 2024 Ihsan Madani di PPA Machang, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Selepas berpisah dengan anak tunggal selama lapan bulan akibat penyalahgunaan dadah seorang prospek di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang di sini, bertekad untuk ‘merdeka’ daripada terlibat bahan telarang itu termasuk pengedaran.

Menurut lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Jie, 48, meskipun sudah dua kali dia dijel, namun ini adalah kali pertama dia dipenjara dalam tempoh yang agak lama termasuk tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha bersama anak.

Katanya, selepas dipilih menyertai Program Pelepasan Orang Bebas Berlesan (OBB) sempena Hari Kebangsaan 2024 Ihsan Madani, ia telah membuka lembaran baharu buat dirinya untuk berubah ke arah kehidupan yang lebih baik.

“Saya bertekad untuk tidak lagi mengulangi kesilapan yang sama kerana sesiapa sahaja yang terjebak dengan dadah pasti akan tertangkap sama ada cepat atau lambat.

“Saya juga mengakui agak tersentuh setiap kali dimaklumkan oleh ibu bahawa anak saya sering bertanya di mana keberadaan saya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Pelepasan OBB sempena Hari Kebangsaan 2024 Ihsan Madani di PPA Machang, di sini hari ini.

Berkongsi kisahnya, Jie memberitahu, dia mula terjebak dengan penyalahgunaan dadah sejak 1998 sebelum dia mula mengedar dadah demi untuk mengejar kemewahan meskipun ketika itu sudah bekerja tetap sebagai konsultan.

Katanya, dia mampu memperoleh pendapatan sehingga RM10,000 hasil menjual dadah dalam tempoh seminggu berbanding pendapatan bulanannya sebanyak RM6,500 di sebuah syarikat di Nilai, Negeri Sembilan.

“Sepanjang terlibat dengan dadah, saya sudah beberapa kali ditangkap dan dikenakan denda selepas didapati bersalah mengedar dadah, namun tidak pernah serik.

“Saya sekali lagi ditangkap pada 21 Mei lalu selepas sepasukan polis menyerbu rumah dan menemui dadah jenis heroin,” ujarnya.

Jie berkata, dia akan dibebaskan pada 21 Disember depan dan tidak sabar untuk berjumpa dengan anak perempuan berusia 10 tahun yang kini tinggal bersama bekas isteri di Melaka selepas bercerai pada 2019.

Katanya, menerusi Program Pelepasan OBB, dia akan bekerja di sebuah syarikat besi di Bachok sementara menunggu tarikh dibebaskan.

Sementara itu, Pengarah Koreksional Machang, Penolong Kanan Komisioner (PKK) Mohd. Nasir Yusof, berkata, seramai 14 prospek PPA Machang diberi pelepasan OBB sempena Hari Kebangsaan 2024 Ihsan Madani hari ini.

“Kesemua yang menyertai Program Pelepasan OBB menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah berusia dalam lingkungan 24 hingga 50 tahun.

“Mereka akan diserah kepada majikan masing-masing untuk bekerja sehingga tarikh dibebaskan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN