TEBING BARAT: Israel meluaskan kawasan serangan dengan kali ini menyasarkan Tebing Barat sehingga meragut sekurang-kurangnya 10 rakyat Palestin.
Dalam serangan itu, tentera Israel yang dilengkapi dengan helikopter, dron, dan kereta kebal telah melakukan serangan terhadap bandar Jenin dan Tulkarm serta kawasan lain di Tebing Barat, kelmarin.
Serangan berkenaan merupakan paling besar dilakukan di Tebing Barat dalam beberapa bulan selepas beberapa serangan kecil di kawasan itu dalam beberapa minggu kebelakangan ini ketika Israel berusaha mematahkan serangan kumpulan-kumpulan pejuang Palestin.
Sayap bersenjata Hamas, Jihad Islam dan Fatah dalam kenyataan berasingan berkata, pasukan penembak kumpulan berkenaan berjaya meletupkan kenderaan tentera Israel di Jenin, Tulkarm, dan Far’a, sebuah bandar di Lembah Jordan.
Pihak berkuasa kesihatan Palestin berkata, sekurang-kurangnya 10 rakyat Palestin telah terbunuh di beberapa kawasan di Tebing Barat oleh pasukan Israel semasa operasi berkenaan.
Selain itu, Kementerian Kesihatan Palestin berkata, tentera Israel telah mengepung hospital utama Jenin dan menyekat akses dengan timbunan tanah yang merupakan satu langkah yang dikatakan tentera Israel bertujuan untuk menghalang pasukan pejuang untuk mencari perlindungan.
Selain daripada serbuan besar di Jenin dan Tulkarm, tentera Israel turut menyerang bandar Far’a berhampiran Tubas di Lembah Jordan, membunuh sekurang-kurangnya empat orang dalam serangan dron.
Sementara itu, Presiden Mahmoud Abbas telah memutuskan untuk memendekkan lawatannya ke Arab Saudi memandangkan operasi ketenteraan Israel terhadap rakyat Palestin di kem utara Tebing Barat.
Mahmoud Abbas sedang berusaha menghentikan pencerobohan di Tebing Barat dan Gaza. Beliau juga menggesa semua pihak berkuasa untuk bertindak segera dan membantu keperluan rakyat Palestin.
Kempen Israel di Gaza telah merobohkan sebahagian besar wilayah tersebut serta memindahkan hampir semua 2.3 juta penduduknya beberapa kali, menyebabkan kebuluran dan penyakit serta membunuh lebih daripada 40,500 orang, menurut pegawai kesihatan Palestin.-AGENSI











