KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa warga India dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini hari ini diteruskan melalui kaedah ‘ground penetrating radar’ (GPR).
GPR merupakan kaedah pengesanan geofizik yang menggunakan gelombang radio untuk menangkap imej di bawah permukaan tanah. Kaedah tersebut dijalankan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sehingga selesai bagi hari ketujuh SAR hari ini.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus bekerjasama dengan seluruh pasukan SAR antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), JMG, Jabatan Kerja Raya, Agensi Nuklear Malaysia serta pihak Indah Water Konsortium (IWK).
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif berkata, keutamaan pasukan SAR untuk menemukan mangsa secepat mungkin selain usaha tanpa henti dilakukan secara berterusan.
“Fokus utama kekal untuk mencari mangsa sehingga ditemukan.
“Saya menzahirkan ucapan terima kasih kepada pasukan SAR yang tanpa mengenal jemu dan putus asa serta terus berusaha dari siang hingga ke malam mencari mangsa.
“Semangat dan iltizam yang ditunjukkan oleh seluruh pasukan SAR, amat dihargai. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar semua petugas terus diberikan kesihatan yang baik dan usaha ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati pasukan pihak polis terus membuat kawalan di sepanjang Jalan Masjid India di sini yang kini ditutup sepenuhnya daripada kenderaan susulan kejadian tanah jerlus kedua yang berlaku pagi semalam kira-kira 50 meter dari lokasi utama, susulan hujan lebat pada sebelah malam.
Difahamkan, operasi SAR bagi hari keenam semalam selesai pukul 5.40 pagi tadi apabila kamera dimasukkan di lurang kumbahan pertama iaitu di lokasi kejadian.
Bagaimanapun, tiada sebarang penemuan setakat pukul 9 pagi ini.
Semalam, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Ahmad Izram Osman dilaporkan berkata, pasukannya mengesan halangan berupa objek yang tersekat di antara lokasi tanah jerlus dan lurang kumbahan kedua iaitu terletak kira-kira 80 meter dari lokasi utama.
Beliau berkata, dapatan itu diperoleh menerusi pengesanan oleh dua anjing Unit Pengesan (K9), Denti dan Frankie, yang dibawa ke lokasi kejadian pada petang Selasa lalu selain pengesanan kamera.
Susulan itu, kerja-kerja menyedut air kumbahan dilakukan lewat malam tadi bagi memudahkan pergerakan penyelam dengan dibantu oleh 75 anggota yang mengawal jentera dan logistik.
Insiden tanah jerlus pada Jumaat lalu menyebabkan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter. – UTUSAN











