Lagu klasik Melayu rangsang semangat patriotik

Lagu klasik Melayu rangsang semangat patriotik

CHENKAMON PRAK SIT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Lagu Bahtera Merdeka nyanyian Allahyarham Datuk Ahmad Jais yang dirakam semula oleh Datuk Aishah menjadi antara lagu kegemaran seorang gadis berketurunan Siam terutama sepanjang bulan kebangsaan ini.

Chenkamon Prak Sit, 25, berkata, lagu tersebut bukan sahaja memiliki susunan muzik menarik, malah melodi dan lirik yang penuh emosi itu mampu menyentuh hati sesiapa sahaja yang memahaminya.

Lebih mesra dengan panggilan Moon, anak jati Kampung Titi Akar, Pendang itu berkata, Bahtera Merdeka dan beberapa lagu lain benar-benar merangsang semangat patriotisme dalam dirinya selain mengagumi keindahan kandungan liriknya.

Selain lagu-lagu patriotik, Chenkamon turut meminati lagu irama Malaysia dan klasik Melayu selain gemarkan syair Melayu yang menurutnya mempunyai makna mendalam dalam pelbagai tema.

“Lagu klasik Melayu ini saya suka sebab alunan muziknya menarik dan pada saya lagu-lagu genre ini ada keunikannya yang tersendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menyentuh bagaimana dia boleh meminati lagu-lagu tersebut, Chenkamon berkata, bakatnya dikesan oleh seorang guru bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Su­ngai Tiang, 10 tahun lalu.

“Semasa di tingkatan tiga, cikgu kata saya ada potensi sebab boleh menyanyi dan cadang cuba bawa lagu-lagu Melayu. Cikgu kata kalau saya boleh menyanyi lagu itu tentu saya juga boleh bersyair.

“Jadi sejak itu saya ada mewakili sekolah untuk pertan­dingan syair di peringkat daerah dan kerap menyanyikan lagu-lagu patriotik sejak sekolah. Semasa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pun saya se­ring buat persembahan,” katanya yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Seni).

Kata anak sulung daripada empat beradik itu, sebelum ini dia pernah merakam video nyanyiannya dan dimuat naik dalam media sosial sebelum video tersebut tular sehingga mendapat perhatian netizen yang memuji nyanyian.

Sementara itu, Chenkamon berkata, golongan muda hari ini perlu sentiasa diterapkan de­ngan semangat patriotisme agar tidak melupakan asal-usul keamanan dan keharmonian hidup yang dikecapi hari ini.

“Kita patut bersyukur pada hari ini, kita hidup dalam keadaan aman, walaupun saya dari kaum minoriti tapi saya lihat peluang sama saja, pekerjaan, pendidikan semua ada,” katanya yang bekerja sebagai pembantu jualan di Pendang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×