MELAKA: Hampir 400 penduduk risau dengan kejadian mendapan tanah hingga menyebabkan satu lubang besar bersaiz 180 sentimeter (cm) dengan kedalaman hampir tiga meter (m) berlaku di Jalan AP 21, Taman Alai Perdana di sini, Ahad lalu.
Pengerusi Taman Alai Perdana, Mohamad Fazley Ismail, 50, berkata, kejadian tersebut mencemaskan penduduk susulan kejadian tanah jerlus yang menimpa seorang wanita di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.
Beliau berkata, tindakan awal diambil Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dengan menutup jalan itu daripada dilalui penduduk.
“Alhamdulillah kerana tindakan awal MBMB menutup laluan tersebut tidak ada kejadian tidak diingini menimpa penduduk di sini.
“Jalan AP 21 sebenarnya adalah laluan utama penduduk masuk ke Taman Alai Perdana dan kami mengucapkan terima kasih kepada MBMB yang bertindak cepat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Kata Mohamad Fazley, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman telah melakukan lawatan dan memberi jaminan ia akan dibaiki minggu ini selepas kontraktor dilantik MBMB.
Sementara itu, seorang penduduk, Fauziah Mohd. Kasim, 60, berkata, dia menyedari tanda-tanda awal mendapan pada pagi Ahad.
“Saya sudah nampak jalan itu mendap sikit pada pagi Ahad sebelum keluar rumah. Bila saya balik pada sebelah malam, saya nampak ada lubang kecil.
“Saya ingat tidak ada apa-apa terjadi tetapi bila pagi esok, saya terkejut ada lubang besar akibat mendapan. Mujurlah tidak ada berlaku kemalangan jiwa menimpa penduduk,” katanya. – UTUSAN







