MELAKA: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah melantik kontraktor untuk membaiki lubang besar akibat mendapan tanah di Jalan AP 21, Taman Alai Perdana di sini.
Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Telok Mas, Faris Mohd. Taib berkata, kerja-kerja pembaikan itu termasuk membina jambatan baharu bagi mengelak kejadian sama berulang akan dilaksanakan minggu ini.
“Kejadian mendapan itu sebenarnya berlaku pada malam Jumaat lalu sewaktu hujan lebat dan kebetulan saya melalui jalan tersebut untuk melihat jika berlaku banjir kilat.
“Sewaktu tiba di Jalan AP 21, saya melihat ada mendapan dan terjadi lubang kecil. Saya terus menghubungi MBMB dan mereka datang membuat pemeriksaan serta menutup laluan tersebut serta-merta.
“Mujur tindakan awal itu menyelamatkan penduduk kerana pada Ahad, terjadi lubang besar bersaiz 180 sentimeter (cm) dan kedalaman mencecah tiga meter yang boleh menyebabkan kemalangan teruk jika termasuk ke dalam lubang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, hampir 400 penduduk risau dengan kejadian mendapan tanah hingga menyebabkan satu lubang besar terbentuk di Jalan AP 21.
Pengerusi Taman Alai Perdana, Mohamad Fazley Ismail berkata, kejadian tersebut mencemaskan penduduk susulan kejadian tanah jerlus yang menimpa seorang wanita di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. – UTUSAN







