Kes maut ditetak, polis siasat unsur pergaduhan kumpulan kongsi gelap

Kes maut ditetak, polis siasat unsur pergaduhan kumpulan kongsi gelap

SUSPEK diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret, Jasin, Melaka untuk permohonan reman. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Polis sedang menyiasat sama ada kes bunuh seorang lelaki yang ditetak menggunakan parang oleh sekumpulan suspek bertopeng dalam kejadian di hadapan sebuah kedai gunting rambut di Taman Rim Baru di sini, Ahad lalu mempunyai kaitan dengan pergaduhan kumpulan kongsi gelap.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian adalah berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan kesemua suspek terlibat.

Jelasnya, setakat ini pihaknya berjaya menahan empat lelaki berumur antara 20 hingga 35 tahun yang ditangkap di sekitar daerah ini.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan sama ada tangkapan berkaitan kongsi gelap ataupun sebaliknya. Punca dan motif dalam peringkat awal siasatan polis adalah berpunca daripada perselisihan faham sebelum ini yang telah berlaku,” katanya.

Hari ini, seorang lagi suspek lelaki berusia 21 tahun direman sehingga 2 September ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek yang memakai pakaian lokap polis berwarna ungu tiba di pekarangan Mahkamah Jasin, kira-kira pukul 9.25 pagi dengan diiringi anggota polis.

Semalam, tiga suspek lelaki berusia 21, 22 dan 31 tahun telah direman selama tujuh hari sehingga 1 September ini di bawah seksyen sama.

Polis turut membuka tiga lagi kertas siasatan bagi kes itu atas kesalahan ugutan, merusuh dan khianat terhadap kenderaan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian pada pukul 8.39 malam itu, mangsa cuba diselamatkan oleh adiknya yang berusia 22 tahun dengan membawa mangsa ke hospital, namun kumpulan berkenaan mengejar sehingga ke Unit Kecemasan Hospital Jasin.

Kumpulan itu turut bertindak mengepung kereta adik mangsa sebelum memecahkan cermin kenderaan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×