KANGAR: Setiap tahun, sempena Bulan Kemerdekaan menjadi kemestian buat seorang guru bersama ahli keluarganya menghias sebuah rumah pusaka di Jalan Padang Melangit, Kampung Abi Tengah, di sini sekali gus menarik perhatian ramai.
Laksamana Saad, 47, akan menghias rumah pusaka di atas tanah seluas 0.711 ekar tersebut dengan bertemakan kemerdekaan bagi mengimbau nostalgia pembinaannya pada 1957.
Malah, guru tersebut juga tidak kisah membelanjakan hampir RM1,000 bagi menghias rumah berkenaan sekali gus bersama menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan.
Laksamana berkata, dia kebiasaannya akan membuat persiapan awal dalam tempoh sebulan bagi menyediakan barangan untuk menceriakan rumah pusaka itu antaranya seperti Jalur Gemilang dan peralatan lain.
Katanya, dia juga menjadikan rumah pusaka tersebut sebagai galeri yang menyimpan pelbagai barangan antik dan berkaitan kemerdekaan.
“Kos bagi menceriakan Rumah Warisan sempena Bulan Kemerdekaan kebiasaannya bawah RM1,000 bagi membeli barangan tersebut seperti Jalur Gemilang dan pelbagai lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Berkongsi kisah mengenai rumah pusaka itu, Laksamana berkata, sekitar tahun 1950-an, askar Melayu ketika itu kerap menggunakan laluan sekitar kawasan tersebut bagi melakukan kawalan keselamatan daripada ancaman komunis.
Katanya, kawasan berkenaan juga suatu masa dahulu mempunyai banyak rumah-rumah lama lain antaranya seperti Rumah Bumbung Panjang Perlis dan pelbagai lagi.
“Namun di sebalik arus kemodenan masa kini, hanya rumah ini yang masih bertahan dan mengekal ciri-ciri rumah tradisional 1950-an,” katanya.
Dalam pada itu, Laksamana berkata, dia juga membenarkan sekiranya mana-mana pihak ingin bergambar atau melawat rumah warisan tersebut bersempena Bulan Kemerdekaan. – UTUSAN










