SUMPAH, sedikit pun Cik Bunga tidak dengki atau marah dengan kehadiran artis luar yang mahu mencari makan di negara ini.
Tak kisahlah sama ada untuk tujuan persembahan atau kerjasama dengan rakan artis di sini, tetapi pendek kata, atas nama mencari makan, apa salah kita cari makan sama-sama.
Namun, Cik Bunga hendak sentuh sikitlah tentang sikap segelintir daripada mereka atau mungkin seorang dua yang masuk ke negara ini bagi mempromosi dan menjayakan persembahan.
Macam apa yang terjadi baru-baru ini, ada seorang penyanyi dari tanah seberang ini hadir ke Malaysia untuk promosikan sebuah konsert yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Apa yang tidak berkenan di hati, dalam sebuah acara yang ramai tetamu itu, adalah bagaimana riak wajahnya seolah-olah tidak suka berada di situ. Lebih ketara apabila diajak bergambar bersama dengan tetamu.
Penyanyi tersebut mempamerkan riak wajah tidak selesa. Habis itu, sudah namanya awak seorang artis, tentunya ramai mahu raih peluang untuk bergambar dengan awak.
Bagi Cik Bunga tidak manislah sikap begini sebab awak datang ke sini pun atas urusan kerja dan mahu cari makan dengan mengadakan persembahan. Kalau tidak suka, buat apa datang. Kita pun tidak paksa.
Betul tak? Itulah kadang-kadang kita ini jangan beri muka sangat pada orang luar atau artis luar.
Kita ini kalau berada di negara mereka pun belum tentu dapat layanan yang bagus. Cik Bunga sekadar menguis emosi pembaca.










