PETALING JAYA: Malaysia masih diancam isu keterjaminan makanan berikutan masih lagi tersenarai sebagai sebuah daripada negara dengan tahap kebergantungan bekalan beras tinggi terhadap negara luar.
Menurut laporan Malaysia Trade Statistics Review I 2021 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pada 2020, Malaysia mengimport sejumlah RM681 juta beras dari India, iaitu 27.5 peratus daripada keseluruhan import beras negara.
Import beras dari India mencatatkan lonjakan hampir 200 peratus dari 2019 sekali gus meletakkan India sebagai negara import beras kedua terbesar Malaysia selepas Vietnam (RM 1.04 bilion atau 42 peratus).
Untuk kadar sara diri (SSR) pula, bagi bekalan lapan komoditi makanan utama negara pada 2022 seperti beras mencatatkan 62.6 peratus, sayur (44.7 peratus), buah-buahan (78.1 peratus), daging lembu (14.7 peratus) dan daging ayam serta itik (94.4 peratus).
Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, situasi ini tidak baik yang bakal meletakkan Malaysia dalam keadaan terancam terutama dari isu keterjaminan makanan.
“Kita antara negara-negara yang masih bergantung harap kepada makanan import.
“Bila kerajaan India menukar dasarnya supaya tidak mengimport kerana mereka juga tidak cukup makan, Malaysia memang sangat terkesan,” katanya ketika ditemubual oleh Utusan Malaysia.
Menurut beliau, setakat ini UPM telah menghasilkan pelbagai jenis benih padi yang mampu meningkatkan produktiviti, termasuk benih yang boleh ditanam dua kali setahun atau menghasilkan lima musim dalam dua tahun.
Pihak UPM dan hasil kerjama dengan universiti lain juga turut menjalin kerjasama erat bersama Kementerian Keterjaminan Makanan untuk memberikan sumbangan idea dalam meningkatkan hasil beras Malaysia.
“Kerjasama ini memang penting, sebab dari sinilah kita boleh berbincang dari sudut pandang pakar dan kita bentangkan kepada kerajaan langkah terbaik dan tepat untuk atasi masalah ini,” katanya.











