SAYA membaca dengan teliti tulisan Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang yang bertajuk “Soal Keabsahan (Legitimasi) Sesebuah Kerajaan Penting Diselesaikan Secara Tuntas.”
Dalam artikel tersebut, Hassan mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang disampaikan dalam sebuah ceramah di Felda Perasu, Nenggiri pada 15 Ogos lalu, yang didakwa mempertikaikan keabsahan (legitimasi) Kerajaan Perpaduan yang kini memimpin kerajaan persekutuan.
Hassan menegaskan bahawa persoalan keabsahan yang dibangkitkan oleh Muhyiddin bukanlah isu remeh yang boleh dibiarkan begitu sahaja, apatah lagi memandangkan Muhyiddin telah mengambil risiko politik dan kebebasan dirinya sehingga dipanggil untuk disiasat oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Hassan turut mencadangkan agar isu keabsahan jawatan Perdana Menteri ini diselesaikan segera dengan tuntas agar tidak mengganggu pentadbiran negara yang perlu fokus kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Beliau mengemukakan beberapa cadangan, termasuk:
(a) Kerajaan mengambil inisiatif membentangkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri;
(b) Blok pembangkang membawa usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri; atau
(c) Pengesahan keabsahan melalui undian untuk meluluskan Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober.
Saya bersetuju dengan kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bahawa cadangan Hassan tidak lagi relevan. Ini kerana selain kelulusan Belanjawan 2023 dan Belanjawan 2024, usul undi percaya telah pun diluluskan sebelumnya, menamatkan sebarang keraguan mengenai keabsahan kerajaan.
Tanpa mengurangkan rasa hormat kepada Hassan, perlu diakui bahawa soal keabsahan jawatan Perdana Menteri telah lama diselesaikan. Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa “Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu.”
Istilah “seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti” telah dijelaskan oleh beberapa pakar perundangan negara, termasuk Prof. Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi. Mereka menjelaskan bahawa ini adalah kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong dan lantikan ini tidak semestinya memerlukan penzahiran sokongan majoriti mutlak, hanya jika ada kemungkinan pun sudah mencukupi.
Dalam kes lantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong pada 25 November 2022 telah membuat keputusan bahawa Anwar memenuhi kriteria sebagai seorang yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Keputusan Yang di-Pertuan Agong ini turut diakui oleh Muhyiddin sendiri, yang dalam kenyataan medianya pada hari sama menyebut bahawa “Dengan kerajaan persekutuan diterajui oleh Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) akan memainkan peranan semak dan imbang dalam Parlimen, selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen.”
Ini berlaku walaupun Muhyiddin pada 24 November menyatakan Anwar wajar mengemukakan bukti yang beliau sebagai Pengerusi PH mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk menjawat jawatan itu.
Bagaimanapun, sebagai seorang pemimpin yang gentleman, Anwar sendiri dalam sidang media pertamanya sebagai Perdana Menteri mengumumkan bahawa Parlimen akan bersidang pada 19 Disember 2022 dengan usul pertama ialah undian kepercayaan terhadapnya.
Tiba hari tersebut, usul ini telah diluluskan melalui undian suara, setelah PN enggan meminta undi belah bahagi ketika calonnya bagi jawatan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, kalah teruk dengan hanya memperoleh 74 undi berbanding calon PH, Tan Sri Johari Abdul yang mendapat 147 undi.
Jika kita meneliti ucapan Muhyiddin dalam PRK Nenggiri, beliau hanya menyebut fakta sejarah tanpa berniat untuk mempertikaikan keabsahan Anwar sebagai Perdana Menteri. Ini kata-katanya, “Kalau ikut kiraan perlembagaan, saya sudah ada jumlah yang lebih untuk menjadi perdana menteri. Ini bukan mengungkit, tapi ini rekod sejarah. Tapi entah macam mana, Yang di-Pertuan Agong waktu itu tak ajak jemput saya pergi istana angkat sumpah. Siapa Yang di-Pertuan Agong dulu? Pahang. Kita tak nak cerita apa-apa buruk. Tapi yang itu, bagi saya agak luar biasa. Tapi tak apalah.”
Perlu diingat, Muhyiddin juga sebelumnya bersetuju untuk menghentikan pertikaian peribadi dan prosiding kes saman fitnah dengan Anwar pada 14 Jun lalu, sebagai usaha untuk mengelakkan gangguan terhadap kesejahteraan dan kestabilan awam.
Hassan perlu memahami bahawa isu yang sebenar di sini bukanlah keabsahan jawatan Perdana Menteri, tetapi sama ada ucapan Muhyiddin ini melanggar undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia.
Persoalan utamanya adalah sama ada ucapan Muhyiddin menimbulkan keraguan terhadap kemampuan dan keadilan Yang di-Pertuan Agong dalam menjalankan tugas memilih seorang Perdana Menteri mengikut Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan.
Ini ekoran titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, yang menzahirkan kemurkaan terhadap tindakan Muhyiddin yang dianggap berbahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap institusi Raja-Raja Melayu.
Berikutan itu juga, Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Pahang, Amir Syafiq Hamzah, membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan pada malam 18 Ogos lalu.
Oleh itu, fokuslah pada isu ini dan jangan tertukar dengan isu picisan yang sudah lama diselesaikan. – UTUSAN
MUHAMMAD Akmal Ikram Kamarul Zaman ialah lulusan ijazah Sains Pentadbiran dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Merbok, Kedah.










