Mahkamah Syariah dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah - Utusan Malaysia

Mahkamah Syariah dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah

DUN Kedah meluluskan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah dengan meletakkan penubuhan Mahkamah Syariah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Mahkamah Syariah kini diletakkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah setelah pindaan terhadap perkara itu diluluskan sebulat suara ketika Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Antara lain, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah (Pindaan) 2024 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor turut mewujudkan Mahkamah Utama Syariah dalam sistem hierarkinya berbanding hanya Mahkamah Rayuan Syariah; Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah.

DUN Kedah juga meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Mahkamah Syariah (Kedah Darul Aman) 2024 berkenaan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan pelantikan hakim.

RUU itu turut melibatkan kuasa keempat-empat Mahkamah Syariah yang ditubuhkan serta pelantikan anggota Mahkamah Syariah dan kes-kes yang dibicarakan.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Kedah Darul Aman) yang turut dipinda adalah bagi menyelaras beberapa tafsiran dalam RUU itu dan memperluas perwakilan kewajipan atau kuasa Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK).

Tambahnya, pindaan terakhir melibatkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam bagi menyelaras bagi menyelaras beberapa tafsiran dalam RUU.

“Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) (Pindaan) 2024 itu sebagai suatu pindaan berbangkit selari dengan pemansuhan Enakmen Mahkamah Syariah (Kedah Darul Aman) 2008 dan digantikan dengan enakmen yang baharu.

“RUU ini juga bertujuan untuk meminda Seksyen 37 Enakmen No. 11/2008 berkenaan gangguan seseorang yang menghalang lelaki atau perempuan yang telah mencapai umur untuk berkahwin dengan sah,” katanya.

Pada 4 Mac lalu, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menitahkan kerajaan untuk menyemak semula struktur Mahkamah Syariah seperti sistem hierarkinya agar memberi lebih ruang keadilan kepada pihak terlibat.

Baginda bertitah, kerajaan juga perlu menambah baik kedudukan jawatan Hakim Mahkamah Syariah agar setanding dengan sistem yang diguna pakai di Mahkamah Sivil.

“Sebagai langkah pemerkasaan, penubuhan Mahkamah Syariah hendaklah diletakkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah sebagaimana Mahkamah Sivil disebut dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×