PETALING JAYA: Malaysia terus mendapat sokongan dalam kalangan negara BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) selepas Brazil mengalu-alukan permohonan negara ini ke dalam blok ekonomi itu.
Jaminan sokongan itu seperti yang disuarakan Menteri Luar Negeri Republik Persekutuan Brazil, Tuan Yang Terutama, Mauro Vieira dalam lawatannya ke Malaysia semalam dan hari ini.
Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan berkata, perbincangan semasa lawatan itu tertumpu kepada lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan ke Brazil pada November ini serta aspirasi negara menyertai BRICS.
“Lawatan tersebut membuka lembaran baharu hubungan dua hala Malaysia-Brazil dalam usaha mengukuhkan kerjasama yang terjalin sejak 1959.
“Brazil terus menjadi rakan dagangan kedua terbesar Malaysia di rantau Amerika Latin,” katanya hari ini.
Untuk rekod, Malaysia dan Brazil mencatat jumlah dagangan RM17.46 bilion pada 2023, iaitu peningkatan empat peratus berbanding RM16.86 bilion pada 2022.
Terdahulu hari ini, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan pertemuan dua hala di Wisma Putra dan kedua-dua kerajaan berbincang mengenai kerjasama sedia ada merentasi pelbagai bidang, termasuk perdagangan dan pelaburan, industri halal, kesihatan, sains, teknologi dan inovasi, hubungan antara rakyat dan pembangunan keupayaan serta pertukaran lawatan di peringkat tertinggi.
Kedua-dua mereka turut bertukar-tukar pandangan untuk meningkatkan kerjasama menerusi forum serantau dan pelbagai hala.
Jelas Wisma Putra, ini termasuk ASEAN, BRICS, G20 dan Brazil yang akan menjadi tuan rumah Persidangan Ke-30 Pihak-pihak (COP30) kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).
“Kedua-dua menteri turut menyentuh secara ringkas tentang perkembangan antarabangsa termasuk situasi di Gaza dan konflik Russia-Ukraine,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, keanggotaan Malaysia dalam BRICS berpotensi ‘merumitkan’ hubungan dengan negara kuasa besar seperti AS dan Kesatuan Eropah (EU).
Walaupun Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sudah memberi jaminan penyertaan Malaysia ke dalam BRICS tidak akan menyebabkan negara berdepan ancaman negara kuasa besar, ahli akademik tidak menolak kemungkinan jika tiada dasar efektif memastikan Malaysia berbaik-baik dengan kesemua blok ekonomi.
Pada 27 Julai lalu, dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-57 di Vientiane, Mohamad berkata, Malaysia perlu menunggu lebih kurang satu tahun lagi sebelum permohonannya diterima, namun, Rusia dan China mengalu-alukan penyertaan negara dalam BRICS.
Pada 9 Julai lalu, Anwar di Dewan Rakyat menegaskan, permohonan Malaysia menyertai BRICS tidak bertentangan dengan dasar luar negara.
Sebaliknya, katanya, Malaysia mengambil pendekatan menjalin hubungan baik dengan semua pihak lebih-lebih lagi dengan kemunculan kekuatan ekonomi baharu.











