Kenapa begitu mudah leraikan cinta?

Kenapa begitu mudah leraikan cinta?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU takut dilambung ombak usah berumah di tepi pantai. 

Peribahasa ini barangkali tidak lagi sesuai kalau kita mahu perumpamakan ia dengan kehidupan hari ini, lebih-lebih dalam konteks berkasih-sayang antara suami dan isteri. 

Kadar perceraian yang meningkat 43.1 peratus daripada 43,936 kes pada 2021 kepada 62,890 kes tahun lalu, menjelaskan yang sikap pasangan kini lebih suka ambil jalan mudah dengan bercerai daripada bertahan menempuh gelora dalam rumahtangga. Betulkah? 

Biar apa pun alasannya, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin mendedahkan perceraian tertinggi adalah pada kumpulan umur 35 hingga 39 tahun bagi pengantin lelaki manakala pengantin perempuan pada kumpulan usia 30 hingga 34 tahun. 

Situasi perceraian orang Islam lebih membimbangkan apabila ia mencatatkan peningkatan 45.8 peratus pada 2022 atau 46,138 kes berbanding 31,650 kes pada 2021. 

Biarpun peningkatan ini disebabkan kes-kes yang dibawa ke hadapan, tetapi ia membawa erti bagaimana sebuah perkahwinan itu cukup mudah berakhir dan menemui titik nokhtahnya.

Lebih malang bila bilangan perkahwinan pula menurun 0.5 peratus daripada 215,973 pendaftaran direkodkan pada 2021 kepada 214,824 pada 2022. 

Peningkatan kes perceraian memberi impak kepada orang muda untuk tidak lagi tertarik dengan sebuah perkahwinan. Ramai rasa kahwin itu membebankan.

Bacalah komen di media sosial, yang bersetuju untuk berkahwin, boleh dibilang dengan jari sahaja berbanding yang menentangnya. 

Seolah-olah bila berkahwin, segala keseronokan hidup dan kebebasan akan terputus. Aduhai.

Tanggapan salah terhadap perkahwinan, memberikan persepsi buruk terhadap hidup bermasyarakat, lebih-lebih kalau ia terjadi dalam kalangan orang Islam yang memuliakan perkahwinan yang mengumpamakan pahalanya besar, bagaikan mendirikan sebuah masjid.

Sedihnya persepsi buruk itu, datangnya daripada masyarakat juga, yang suka berkongsi kisah buruk mengenainya di media-media sosial yang akhirnya membentuk pemikiran individu. 

Ada yang dangkal hingga sanggup jatuhkan talak secara langsung. 

Sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan ikatan suci perkahwinan tidak terus dipandang serong. Apa kata, kenakan hukuman keras kepada orang yang suka menjaja kisah buruk pasangan dan perkahwinan di media sosial?

Dialog dalam drama ‘Aku ceraikan kau, ceraikan aku’ pun tidak sepatutnya ada, sebab kanak-kanak hari ini pun sudah berani sebut talak dan cerai. 

Semuanya gara-gara pengaruh dengan apa yang ditonton dan didengarinya.

Jabatan Perangkaan Malaysia mengeluarkan laporan Perangkaan Perkahwinan dan Perceraian, Malaysia, ini bukan suka-suka sebaliknya ia input penting kepada perancangan dasar sosial bagi mengukuhkan institusi kekeluargaan di Malaysia.

Kalau angka kian bertambah, apa kaedah pihak berwajib merawat hati insan-insan yang terluka, impak perceraian seperti anak dan ahli keluarga yang lain?

-Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×