SEREMBAN: Dua ahli akademik dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai di sini dilantik sebagai sarjana pelawat kepada dua buah institusi berprestij di Russia.
Mereka iaitu Prof. Madya Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM dilantik sebagai sarjana pelawat di Pusat ASEAN, Institut Perhubungan Antarabangsa Moscow (MGIMO).
Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM pula dilantik sebagai sarjana pelawat di Institut China dan Asia Kontemporari, Akademi Sains Russia (ICCA-RAS).
Terdahulu kedua-dua mereka turut dijemput oleh Kementerian Pertahanan Russia sebagai pembentang ucaptama di Persidangan Keselamatan Moscow yang berlangsung pada 13 Ogos lalu.
Mohd. Hazmi berkata, jemputan sebagai pembentang ucaptama ini adalah peluang yang diberikan susulan kunjungan Kedutaan Russia ke USIM pada Jun lalu.
Ujarnya lagi, kerajaan Russia turut menaja sebahagian daripada lawatan beliau dan Rafidah Hanim ke persidangan tersebut.
“Lebih menarik, hampir kesemua ahli akademik Russia yang ditemui di MGIMO dan ICCA-RAS mampu berbahasa Melayu dengan baik. Peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengembangkan pengaruh USIM dan memperkukuh hubungan akademik dengan Russia, negara terbesar di dunia.
“Antara perkara yang dibincangkan termasuk peluang kerjasama penyelidikan, penerbitan, dan program pertukaran pelajar yang berfokuskan kepada topik seperti undang-undang maritim antarabangsa, dasar maritim, undang-undang hak asasi manusia, serta isu-isu berkaitan ASEAN dan Russia” katanya.
Rafidah Hanim pula berkata, peluang yang diterimanya itu digunakan untuk berinteraksi dengan pihak akademik Russia dan saling bertukar-tukar pandangan tentang nilai kekeluargaan melibatkan isu orientasi seksual dan identiti gender.
“Di samping menyampaikan kepada mereka polemik isu kesihatan terkait homoseksual, saya juga mengetahui dengan lebih mendalam bagaimana Russia memperkukuhkan nilai kekeluargaan melalui polisi menolak ideologi gender berleluasa di sekolah dan melalui pemantauan NGO,” katanya lagi.-UTUSAN.










