Tukang jahit tawar khidmat sewa busana

Tukang jahit tawar khidmat sewa busana

KAMSIAH Semadi (kiri) melayani pelanggan yang ingin menempah busana bertemakan kemerdekaan di Kampung Besut, Chukai, Kemaman, semalam. – UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang tukang jahit mengambil inisiatif menawarkan khidmat sewaan busana bertemakan kemerdekaan bagi membantu golongan ibu bapa menyediakan pakaian untuk anak-anak sempena sambutan Bulan Kebangsaan Ke-67 tahun ini.

Kamsiah Semadi, 54, dari Kampung Besut, Chukai, dekat sini, berkata, dia mula menawarkan khidmat sewaan itu sejak lima tahun lalu selepas menyedari ramai ibu bapa tidak mampu untuk membeli baju yang siap di pasaran berikutan harga yang mahal.

Katanya, pada tahun ini, dia menawarkan lebih 150 pasang baju bertemakan ‘Kemerdekaan’.

“Saya menawarkan khidmat sewa baju bermula harga RM40 hingga RM70 bergantung kepada reka bentuk dan aksesori yang dikehendaki pelanggan,” katanya ketika ditemui di premisnya, di sini, semalam.

Kamsiah berkata, dia yang berpengalaman sebagai tukang jahit sejak 20 tahun lalu turut menerima tempahan baju merdeka, namun terpaksa mengehadkan tempahan jahitan berikutan tidak mampu menyiapkan tempahan pakaian pada Julai dan Ogos.

“Sebelum ini, saya tidak membuat sewaan baju dan hanya mengambil tempahan baju merdeka, namun bila dah terlalu banyak tempahan pada satu masa, iaitu pelanggan tempah bulan Julai hingga Ogos.

“Saya memang tak menang tangan dan tak boleh nak siapkan baju yang banyak dalam masa yang singkat kerana saya mementingkan kualiti,” katanya.

Menurutnya, dia turut menawarkan khidmat sewa busana pelbagai bangsa dan etnik yang sering dipakai oleh pelajar sepanjang sambutan bulan kebangsaan dan hari Malaysia se­perti kebaya, sari, pakaian tradisional Kadazan dan Cheongsam. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×