GUA MUSANG: Calon Perikatan Nasional (PN) Mohd. Rizwadi Ismail yang tewas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) 17 Ogos lalu meneruskan khidmat di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, ia melibatkan kerja-kerja parti seperti ziarah penduduk dan sebagainya yang berkait dengan politik.
“Rutin harian saya macam biasa dengan meneruskan kerja-kerja parti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada PRK Nenggiri Mohd. Rizwadi Ismail tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie dengan majoriti 3,352 undi.
Mohd. Rizwadi memperoleh undian sebanyak 5,739 manakala Awie 9,091 undi.
PRK ini dilangsungkan selepas penyandangnya Mohd. Azizi Abu Naim dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilucut hak sebagai ahli selepas melanggar peraturan dengan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus bertentangan dengan prinsip parti.
Ekoran itu, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengumumkan kekosongan luar jangka pada 13 Jun lalu.
Keputusan itu dibuat selepas beliau menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada Bersatu mengenai pengguguran keahlian Mohd. Azizi.-UTUSAN











