BAITULMAQDIS: Bekas Pengarah Risikan Ketenteraan Israel, Mejar Jeneral Aharon Haliva meminta maaf berikutan kegagalannya sehingga berlaku konflik peperangan antara Israel dan Hamas sejak 7 Oktober lalu.
Menurut rakaman video yang dikeluarkan oleh pasukan tentera Israel, permohonan maaf terbuka itu dibuat beliau pada majlis perpisahannya di sini, semalam.
“Hari serangan itu adalah hari paling gelap dalam kehidupan saya.
“Permohonan maaf tidak boleh membetulkan, menyembuhkan atau mengembalikan kehilangan orang tersayang. Tetapi bagi pihak saya dan seluruh sayap perisikan, saya memohon keampunan,” katanya.
Haliva meletak jawatan April lalu selepas gagal melaksanakan tanggungjawab mencegah serangan yang mencetuskan konflik antara tentera Israel dan Hamas di Gaza.
Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu tidak pernah sekali pun secara rasmi meminta maaf atas kegagalan kerajaan atau pasukan keselamatan negara menyekat serangan Hamas.
Menurut laporan AFP, konflik Israel Hamas telah meragut 1,199 nyawa penduduk Israel, jumlah yang jauh lebih rendah berbanding lebih 40,000 kematian dalam kalangan penduduk Palestin di Gaza.
Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) memberitahu, kebanyakan yang terkorban di Gaza adalah wanita dan kanak-kanak.
Tentera Israel memaklumkan, sebanyak 333 anggotanya terkorban di Gaza sejak serangan darat bermula pada 27 Oktober lalu. – AGENSI










