85 kedai runcit jual arak, rokok seludup digempur - Utusan Malaysia

85 kedai runcit jual arak, rokok seludup digempur

NORLELA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 85 premis runcit di sekitar ibu negara digempur Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selepas menjual arak dan rokok dengan rampasan bernilai RM2.1 juta.

Ia susulan Op Royal dijalankan JKDM dengan kerjasama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di Jalan Pudu, Chow Kit dan Jalan Petaling itu sejak 12 Ogos lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, sebanyak 36 kertas siasatan dibuka pihaknya setakat hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kata beliau, sebanyak 5,545 liter minuman keras dan 727,801 batang rokok dirampas selain tangkapan 35 individu.

“Siasatan mendapati tangkapan terdiri daripada warga tempatan dan asing yang berperanan sebagai peniaga di kedai-kedai runcit khususnya.

“Berdasarkan tindakan yang diambil ini, kita dapati peniaga-peniaga ini menjual rokok dan minuman keras tidak sah ini kepada pelanggan tetap sahaja. Siasatan masih dijalankan untuk kenal pasti modus operandi kegiatan ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini malam ini.

Beliau berkata, operasi itu dilaksanakan dalam usaha membanteras penjualan dan pembekalan barang kontraban yang tertakluk di bawah Peraturan 42(1) Peraturan-Peraturan Kastam 2019.

Kata beliau, siasatan terhadap suspek yang ditahan dibuat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, Norlela turut memaklumkan pihaknya mewujudkan khemah statik dan van bergerak sebagai platform menerima aduan, menyampaikan mesej anti penyeludupan selain membina kerjasama dengan komuniti awam.

“JKDM menyeru orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat dan kita memberi jaminam bahawa setiap identiti pemberi maklumat dirahsiakan,” ujarnya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini