Bekas mekanik dipenjara 35 tahun, bakar teman wanita

Bekas mekanik dipenjara 35 tahun, bakar teman wanita hingga maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang bekas mekanik terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan semalam menggantikannya dengan hukuman penjara 35 tahun kerana membunuh teman wanita dengan membakar bilik tidurnya, 10 tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Harmindar Singh Dhaliwal memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan semakan Mohd. Afizi Abdul Rahman, 37, untuk mengetepikan hukuman mati terhadapnya.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara turut memerintahkan banduan akhir itu (pemohon) menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 22 Januari 2014 dan dikenakan 12 sebatan.

Koram berkenaan berpuas hati, kes itu bukan luarbiasa yang membolehkan mahkamah mengekalkan hukuman mati terhadapnya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz membantah permohonan semakan atas alasan pemohon bukan sahaja membunuh wanita itu, malah cuba membunuh dua kanak-kanak lain yang turut berada dalam bilik berkenaan.

Sementara itu, peguam Farida Mohammad berhujah, wujud unsur provokasi di antara Mohd. Afizi dan teman wanitanya sehingga menimbulkan pertengkaran yang turut didengari oleh penghuni flat berkenaan.

Mohd. Afizi pada mulanya dituduh cuba membunuh Saliza Saidin, 29, anak-anak perempuannya yang ketika itu berusia dua tahun dan bayi dua bulan di flat kos rendah di Setapak Jaya, Sentul di antara 1 pagi dan 1.30 pagi pada 21 Januari 2014.

Bagaimanapun, pada 18 Februari 2014, dia didakwa membunuh Saliza selepas teman wanitanya itu meninggal dunia pada 1 Februari 2014 akibat luka terbakar yang teruk, 11 hari selepas menerima rawatan di Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Mohd. Afizi turut diperintah oleh Mahkamah Sesyen menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana kesalahan cubaan membunuh kanak-kanak dan bayi itu.

Keterangan kes menyatakan, Mohd. Afizi ke rumah si mati waktu Maghrib untuk mengajaknya keluar makan tetapi wanita itu menolaknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×